arena

Mbappe beri amaran belum puas

Oleh AFP

KEJAYAAN Perancis merangkul gelaran Piala Dunia kedua dengan mengatasi Croatia pada aksi final di Russia dilihat sebagai permulaan kepada Kylian Mbappe dan generasi berbakat negara itu untuk menguasai pentas dunia selepas ini.

Ketika pemain berusia 19 tahun itu menjadi pemain paling mencuri tumpuan dalam skuad Perancis, hakikatnya, skuad itu mempunyai ramai lagi pemain muda berbakat bagi mendominasi bola sepak antarabangsa untuk beberapa tahun akan datang.

Purata usia empat pemain pertahanan Perancis yang dibarisi Benjamin Pavard, Raphael Varane, Samuel Umtiti dan Lucas Hernandez hanya 23 tahun.

Ousmane Dembele yang dibeli oleh Barcelona dengan bayaran $123 juta (RM498 juta) hanya bermain dua minit pada pusingan kalah mati, manakala seorang lagi penjaring gol dalam perlawanan malam tadi Antoine Griezmann, 27, dan Paul Pogba, 25, masing-masing kini di kemuncak prestasi.

Dengan jaringan empat gol sepanjang kejohanan ini dan gol keempat Perancis untuk kemenangan 4-2 pada final Piala Dunia di Stadium Luzhniki, Moscow, Mbappe dijulang sebagai pemain muda terbaik kejohanan selain menjadi pemain termuda sejak Pele yang berjaya menyumbat gol di pentas terbesar bola sepak.

"Saya mahu mencipta sejarah, ini hanya permulaan. Saya mahu pergi lebih jauh.," kata Mbappe. "

Ini bukan kali pertama di Russia, penyerang lincah Paris Saint-Germain itu dibandingkan dengan legenda Brazil, Pele. Ketika meledak dua gol menentang Argentina pada perlawanan 16 pasukan terakhir, Mbappe muncul pemain termuda sejak Pele yang menjaringkan lebih satu gol dalam satu perlawanan Piala Dunia.

"Jika Kylian (Mbappe) terus menyamai rekod saya, saya mungkin perlu memakai but untuk beraksi semula," kata Pele menerusi Twitter.

Hanya Nigeria yang menghantar skuad lebih muda berbanding skuad bimbingan Didier Deschamps ke Russia.

"Kylian Mbappe baru berusia 19 tahun. Saya harap dia akan memenangi kejuaraan lagi tapi anda tidak tahu," kata Deschamps.

 

 

Disiarkan pada: July 16, 2018 @ 9:18am
d