arena

Kekuatan mental inspirasi Les Bleus

Oleh Reuters

MOSCOW: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps menegaskan barisannya berjaya mengatasi kesilapan dan ketidaksempurnaan ketika membenam Croatia pada aksi final Piala Dunia bersandarkan kepada kekuatan mental.

Perancis menewaskan Croatia 4-2 untuk menjulang trofi keagungan itu buat kali kedua dengan Deschamps menjadi lelaki ketiga, selepas Mario Zagallo dari Brazil dan Franz Beckenbauer (Jerman) untuk memenanginya sebagai pemain dan jurulatih.

Bagaimanapun, Les Bleus dipaksa bekerja keras hampir keseluruhan perlawanan dan memerlukan gol sendiri pihak lawan dan penalti untuk mendahului permainan sebelum menang.

“Perkara utama yang membanggakan saya ialah keadaan minda mereka (pemain) berada dalam keadaan yang baik,” kata Deschamps yang menjadi kapten Perancis ketika menjuarai Piala Dunia pada 1998.

“Hari ini ada ketidaksempurnaan, kami tidak melakukan segala-galanya dengan betul tetapi kami mempunyai kualiti mental dan psikologi yang menjadi penentu kepada Piala Dunia kali ini.”

Deschamps berkata, sekalipun 14 pemainnya adalah muka baharu di Piala Dunia, mereka sudah bersedia untuk mencapai sasaran yang sama sekali gus membuktikan kematangan.

“Bakat saja tidak mencukupi. Kamu memerlukan aspek psikologi dan mental. Dengan itu, mana-mana pasukan mampu mendaki gunung,” kata Deschamps.

“Kadang kala saya boleh menjadi amat tegas terhadap pemain tetapi saya melakukannya kerana mereka sekalipun muda, kebiasaannya akan mendengar.”

Sambil memuji sumbangan pemain muda, Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann, jurulatih berusia 49 tahun itu turut menyifatkan kekalahan di final Euro 2016 kepada Portugal antara kunci kejayaan mereka.

“Mungkin jika kami juara Eropah, kami tidak akan menjadi juara dunia hari ini. Banyak yang saya belajar daripada kekalahan itu,” katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2018 @ 7:40pm
d