arena

Mbappe boleh menang Ballon D' Or – Kaka

Oleh Agensi

BINTANG Brazil, Kaka percaya aksi menakjubkan pemain muda Perancis, Kylian Mbappe pada kempen Piala Dunia di Russia bakal menjadikanya antara calon pilihan untuk merangkul gelaran Ballon D'Or sekali gus mengakhiri era Cristiano Ronaldo-Lionel Messi.

“Mbappe adalah pemain menakjubkan dengan usianya baru 19 tahun... Kadang-kala anda melihatnya di dalam padang seperti pemain berusia 35 atau 36 tahun, dia sangat matang tapi kadang-kala dia menunjukkan dirinya baru 19 tahun," kata bekas pemain tengah Brazil itu.

Kaka berkata, pemain berbakat itu yang menjaringkan tiga gol termasuk satu gol ketika Perancis menewaskan Croatia 4-2 pada final di Stadium Luzhniki malam tadi boleh menghalang Ronaldo daripada mencipta rekod enam anugerah Pemain Terbaik Dunia, Ballon D’Or tahun ini.

"Musimnya dengan PSG biasa saja tapi apa yang dia lakukan di Piala Dunia adalah hebat. Jika Perancis menang, dia salah seorang individu yang layak dicalonkan," katanya ketika siaran langsung beberapa jam sebelum perlawanan akhir itu.

Jika Mbappe merangkul anugerah terbesar itu, ia bakal meleburkan penguasaan Ronaldo-Messi dengan dua pemain itu memenanginya untuk 10 tahun berturut-turut. Kali terakhir anugerah itu dimenangi selain dua pemain terbabit adalah Kaka pada 2007.

Namun Kaka tetap memberi pujian kepada pemain lain yang turut menjadi tonggak kejayaan Perancis merangkul gelaran dunia kali kedua.

"Paul Pogba juga beraksi baik dalam Piala Dunia. Dia membuatkan pemain pertahanan selamat di belakangnya," kata Kaka mengenai pemain tengah Manchester United itu.

“Saya pernah bermain dengan Raphael Varane di Real Madrid, jadi saya anggap dia boleh menjadi ketua yang bagus."

Disiarkan pada: July 16, 2018 @ 9:02pm
d