arena

'Tunggu cabaran saya di EPL'

Oleh AFP

BOS baharu Chelsea, Maurizio Sarri mengakui teruja dengan cabaran yang bakal disajikan deretan pengurus terbaik dunia dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pengurus kelahiran Itali itu tiba di Stamford Bridge bagi menggantikan Antonio Conte sekali gus menyaksikannya akan menentang beberapa jurulatih terbaik dunia antaranya Pep Guardiola (Manchester City) Mauricio Pochettino (Tottenham) Jose Mourinho (Manchester United) dan Jurgen Klopp (Liverpool).

“Chelsea adalah salah satu kelab terpenting dalam semua kejohanan utama di Eropah,” kata Sarri. “Dia Liga Perdana, ada ramai jurulatih terbaik di Eropah, mungkin juga di dunia.

“Bagi saya, cukup teruja untuk bermain menentang Guardiola, Pochettino, Mourinho, Klopp dan juga pengurus lain.”

Sekali pun Chelsea tidak beraksi di kancah elit Liga Juara-Juara musim depan selepas menamatkan kempen musim lalu di tangga kelima, Sarri berkata kelab yang dibimbingnya mempunyai pasukan yang baik.

“Chelsea mempunyai pasukan yang hebat. Masalahnya adalah di England, ada lima, enam pasukan yang amat bagus. Dengan satu atau dua perubahan, kami boleh cuba untuk bermain dengan cara saya.

“Pertamanya, saya mahu menikmatinya untuk diri saya. Pemain-pemain juga perlu menggemarinya. Perkara yang paling utama adalah peminat dapat menikmatinya.”

Perlawanan pertama Sarri bersama Chelsea adalah perlawanan persahabatan pra-musim menentang kelab Perth Glory di Australia, 23 Julai ini.

Pengendali berusia 59 tahun itu adalah pengurus sepenuh masa kesembilan dilantik sejak Chelsea diambil alih hartawan Russia, Roman Abramovich pada 15 tahun lalu.

Disiarkan pada: July 16, 2018 @ 11:55pm
d