arena

Chong Wei enggan badi berulang

Oleh Fabian Peter

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pastinya mahu mengelak badi kekalahan di tangan pemain Perancis, Brice Leverdez daripada berulang apabila kedua-dua pemain itu diundi membuat perhitungan pusingan pertama Kejohanan Dunia di Nanjing, China pada 30 Julai hingga 5 Ogos depan.

 Pada edisi di Glasgow, Scotland, tahun lalu, pemain berusia 36 tahun itu ditunjukkan jalan keluar oleh Leverdez di pusingan pertama.

 Bagaimanapun, Chong Wei yang diletakkan pilihan kedua diramal mampu melangkah lebih jauh dengan cabaran sebenarnya bermula di separuh akhir apabila dia dijangka bertemu bintang muda Jepun, Kento Momota andai masing-masing berjaya melepasi pusingan awal.

 Juara dunia lima kali dari China, Lin Dan, juara Olimpik 2016, Chen Long (China) dan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen masing-masing dengan masing-masing hanya akan bertemu Chong Wei di pentas final.

 Pemain Malaysia yang turut beraksi dalam acara perseorangan lelaki ialah pemain profesional Liew Daren yang akan bertemu Jonathan Christie dari Indonesia di pusingan pertama.

 Sementara itu, dalam acara beregu lelaki, pasangan nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mendapat bye di pusingan pertama dan berkemungkinan menentang rakan senegara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin di pusingan kedua.

 Skuad beregu lelaki negara turut mendapat khabar gembira apabila pasangan muda, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut layak beraksi di undian utama.

 Pemain negara yang turut beraksi di Nanjing ialah perseorangan wanita, Goh Jin Wei dan Soniia Cheah; beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean serta beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie serta Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Disiarkan pada: July 17, 2018 @ 4:23pm
d