arena

NS idam benam Selangor

Oleh Mohd Amin Jalil

SEREMBAN: Penyerang Negeri Sembilan, N Thanabalan berharap pasukannya dapat bangkit melakar kemenangan apabila turun melayan kunjungan Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Dia yang belum pasti sama ada dapat beraksi atau tidak kerana masalah kecederaan lutut, menuntut rakan sepasukan supaya melupakan kekalahan di tangan PKNP FC sebelum ini.

“Kemungkinan saya tidak dapat beraksi malam esok kerana masih kurang cergas susulan kecederaan lutut yang dialami sebelum ini, namun saya percaya dan yakin rakan sepasukan yang lain tetap fokus untuk berdepan Selangor.

“Walaupun sasaran awal yang ditetapkan iaitu kekal dalam Liga Super musim depan kelihatan samar, tapi saya percaya semua pemain yang akan diberikan tanggungjawab itu nanti, akan tetap berusaha memberikan persembahan terbaik.

“Pemain tetap mahukan kemenangan dicipta ke atas Selangor biarpun rata-rata beranggapan peluang untuk kami kekal dalam Liga Super semakin sukar,” katanya.

Pemain berusia 23 tahun berasal dari Rantau itu juga yakin, gandingan jurulatih Mario Lemos dengan Mohd Asri Ninggal sudah pasti mempunyai perancangan tersendiri dalam memastikan tiga mata tidak lagi tercicir.

“Kami sedar kelebihan beraksi di gelanggang sendiri tidak boleh dipersia-siakan lagi dan walaupun lawan bukan calang-calang pasukan, tetapi kemenangan amat diperlukan.

“Apa pun, saya mengharapkan apa yang dirancangkan kali ini akan membuahkan hasil kerana hanya dengan kemenangan ke atas Selangor saja yang dapat mempertahankan maruah pasukan,” katanya.

Disiarkan pada: July 17, 2018 @ 8:05pm
d