arena

Peluang PKNP kekal rentak

Oleh Azizan Hashim

PEMAIN Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC diharap mampu meneruskan rentak cemerlang di sepanjang tiga perlawanan terakhir Liga Super bermula dengan menentang PKNS FC di Ipoh, malam esok.

Faktor itu dituntut jurulatih, Abu Bakar Fadzim yang mahu anak buahnya mengekalkan prestasi semasa bagi memastikan mereka mampu terus bersaing di Liga Super musim depan.

Sebelum ini, PKNP FC berjaya mengutip lima mata daripada kunjungannya ke Kuala Lumpur, Kuantan dan Seremban.

“Saya berharap pemain mampu mengekalkan persembahan bertenaga seperti dalam tiga perlawanan lalu itu,” katanya.

Ketika ini, PKNP FC menduduki tangga kelapan liga dengan 22 mata dan skuad itu hanya perlu mengutip tiga lagi mata dari baki empat perlawanan untuk mengesahkan kedudukan musim depan.

Daripada empat perlawanan itu, tiga akan diadakan di gelanggang sendiri dan Bakar berharap pemain akan menggunakan sebaiknya kelebihan yang ada.

“Tidak semudah diungkapkan kerana kami akan bertemu pencabar handalan termasuk JDT, Kedah dan Selangor.

“Apapun kami akan cuba beri tentangan kepada setiap pencabar,” katanya.

Disiarkan pada: July 17, 2018 @ 8:44pm
d