arena

Timea buat Eugenie berpeluh

Oleh AFP

GSTAAD, Switzerland: Eugenie Bouchard melepasi ancaman pemain tuan rumah pada kejohanan WTA Gstaad semalam apabila bangkit sebelum menundukkan Timea Bacsinszky 4-6, 7-6 (7/1), 6-4 bagi meraih tempat ke pusingan kedua.

Pemain Kanada ranking ke-146 dunia itu, yang beraksi di final Wimbledon empat tahun lalu namun merudum teruk sejak itu, menghabiskan lebih dua jam sebelum mengatasi Bacsinszky yang pernah layak dua kali ke separuh akhir Roland Garros.

Pemain Switzerland itu yang pernah berada di tangga kesembilan dunia, terlepas keseluruhan musim gelanggang tanah liat dan rumput selepas koyak otot betis ketika memanaskan badan pada kejohanan di Rabat pada musim bunga lalu.

Dia hanya bermain lima perlawanan dan kalah semuanya musim ini manakala rankingnya merudum ke tangga ke-761.

Bouchard tersingkir pada pusingan kedua Wimbledon dua minggu lalu, kemudian beralih ke gelanggang tanah liat minggu lalu dengan menyertai kejohanan bertaraf rendah, yang mana dia kalah pada perlawanan pembukaannya.

“Saya tidak bermain dengan baik minggu lalu dan latihan juga tidak hebat minggu ini,” kata Bouchard.

“Saya tidak berasa bagus, jadi saya hanya cuba bermain sebaik mungkin hari ini.”

Bouchard akan bertemu juara Gstaad pada 2016, Victorija Golubic, yang menewaskan pemain Jerman, Antonia Lottner 6-3, 6-2 pada pusingan kedua.

Disiarkan pada: July 18, 2018 @ 9:30am
d