arena

Kena 'pandai politik' tegas Benitez

Oleh Reuters

LONDON: Pengurus Newcastle United, Rafael Benitez menegaskan kelab itu mesti ‘pandai berpolitik’ dalam pasaran perpindahan pemain ketika ini dalam usaha memenuhi sasaran realistik menjelang musim baru Liga Perdana Inggeris.

Skuad Magpies setakat ini menandatangani semula Kenedy secara pinjaman dari Chelsea, kapten Korea Selatan, Ki Sung Yueng menerusi perpindahan percuma selepas pemain itu meninggalkan Swansea City dan penjaga gol Slovakia, Martin Dubravka dengan yuran tidak didedahkan dari Sparta Prague.

Benitez, yang mengemudi Newcastle ke kedudukan 10 teratas selepas kembali ke liga utama musim lalu berkata, beliau akan melakukan apa saja untuk menguatkan pasukan tetapi skuad itu mesti beroperasi dengan perbelanjaan terhad.

“Malangnya itulah yang kami perlu lakukan,” kata Benitez kepada Sky Sports semalam.

“Kami perlu berpolitik dan membuat perjanjian, itulah cara kami. Kemudian kami cuba melakukan perkara yang betul.

“Kami cuba mendapatkan pemain memiliki karakter, ia bukan hanya nama besar, kerana mereka akan menjadi terlalu mahal buat kami, tapi kami akan cuba mendapatkan pemain yang boleh melakukan tugas buat pasukan.

“Apabila harga agak tinggi, saya tahu kami tidak boleh membeli mereka, jadi kami perlu realistik dengan perbelanjaan kami dan kemudian mungkin menjual sebahagian pemain dan membeli sebahagian lagi.”

Media Britain mengaitkan Stoke City dengan pemain sayap Newcastle, Matt Ritchie namun Benitez mengesahkan mereka tidak akan menjual pemain itu.

“Kami dalam posisi yang sama seperti tahun lalu. Dia pemain kami, kami gembira dengannya dan kami tidak mahu menjualnya,” kata pengendali dari Sepanyol itu.

Disiarkan pada: July 18, 2018 @ 10:24am
d