arena

Patut kami dapat penalti

Oleh Izzali Ismail

KETUA jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff kesal kerana tidak mendapat sepakan penalti ketika seri 1-1 dengan Terengganu FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Beliau berpendapat mereka seharusnya diberikan sepakan penalti pada lewat perlawanan namun terpaksa menerima keputusan pengadil.

“Pada pengamatan saya, kami sepatutnya memperoleh sepakan penalti pada hujung perlawanan.

“Jelas ada terjahan dari belakang dan memang sepatutnya kami diberikan sepakan penalti, tapi apakan daya kami terpaksa menerima dan menghormati keputusan pengadil.”

Kedah sekadar meraih satu mata selepas gol pembukaan kapten Baddrol Baktiar dua minit sebelum rehat disamakan oleh Kamal Azizi Zabri pada minit ke-61.

“Saya tetap mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pemain kerana walaupun tidak menurunkan kesebelasan terbaik, mereka sudah memberi satu persembahan terbaik malam ini dengan mengutip satu mata.”

Nidzam menyatakan pemainnya sudah memberikan usaha terbaik 100 peratus pada perlawanan itu walaupun sedikit terkilan dan kecewa kerana sepatutnya mereka mampu meraih tiga mata di laman sendiri.

Skuad Helang Merah berdepan krisis kecederaan teruk termasuk penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kassim, Syazwan Tajuddin, Andik Vermansyah dan Akhyar Rashid.

Kejayaan meraih satu mata membolehkan Kedah merampas kedudukan Pahang di tangga ketiga Liga Super dengan 31 mata, manakala Terengganu FC melonjak ke tangga keempat juga mengumpul 31 mata. Dua aksi terakhir Kedah bertemu Perak pada 22 Julai ini diikuti PKNP FC (29 Julai).

Disiarkan pada: July 18, 2018 @ 10:39am
d