arena

'Sampai bila ISN nak kebal...'

Oleh Aida Adilah Mat

“APA hak kami sebagai atlet jika kami tidak boleh menegakkan kebenaran dan menuntut keadilan selepas begitu lama menabur bakti kepada negara,” kata bekas atlet menembak negara Muslifah Zulkifli.

Muslifah mewakili dua rakannya - Nur Ayuni Abdul Halim dan Nur Suryani Taibi - meluahkan rasa tidak puas hati apabila saman mereka terhadap Institut Sukan Negara (ISN) pada Oktober 2017 ditolak oleh Mahkamah Seksyen dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mereka yang digugurkan daripada Program Podium pada Februari tahun lalu bagaimanapun tidak akan menyerah dan akan terus memfailkan saman ke atas ISN sehingga peringkat tertinggi.

Tiga atlet menembak itu menerusi peguam bela Ahsa Advocates & Solicitors akan membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan dan mempunyai masa 30 hari dari tarikh keputusan penolakan iaitu pada 6 Julai lalu. 

“Kes kami diketepikan oleh mahkamah tanpa kami dapat membela diri. 

“ISN menggunakan Akta ISN Seksyen 44 (Tiada tindakan, guaman, pendakwaan atau prosiding lain boleh diambil atau dibawa, dimulakan atau dikekal terhadap (a) Institut, (b) mana-mana anggota Institut atau jawatankuasa, atau mana-mana pegawai, pekerja atau ejen Institut atau (c) mana-mana orang lain yang bertindak dengan sah pihak Institut.

“Kes ditolak tanpa didengari terlebih dulu iaitu hanya di peringkat ‘interlokiteri’,” katanya.

Berdasarkan akta seksyen 44 itu, bermakna atlet tidak boleh menyaman ISN namun ISN perlu mengemukakan ‘good faith (niat suci).

“Adakah ini membuktikan ISN kebal. Mereka boleh melakukan apa kepada atlet dan selamat dengan hanya mengemukakan akta seksyen 44 itu.

“Apakah nasib kami sebagai atlet. Kami membawa kes ini ke mahkamah bukan niat untuk menjatuhkan sesiapa tetapi ingin menegakkan keadilan dan menuntut hak kami apabila diketepikan tanpa alasan kukuh,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Kafe Sri Bayu, Kelab Golf Bukit Jalil.

Muslifah turut merujuk kes bekas atlet gimnastik negara Nur Eli Ellina Azmi yang diminta berhenti tanpa notis dan tidak dibayar elaun pada Mei lalu hanya kecoh di media namun akhirnya senyap begitu saja tanpa ada jalan penyelesaian.

Sementara itu, wakil peguam Mohd Azlan Mashod berkata, beliau akan membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan dengan menggunakan Seksyen 3 (2) Institut adalah kekal turut-temurun dan mempunyai suatu meterai perbadanan dan boleh membawa guaman dan dibawa guaman terhadapnya atas namanya. 

Pada perkembangan yang sama ketiga-tiga menembak itu berharap ‘suara’ mereka didengar Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. 

Sebagai rekod, ketiga-tiga atlet itu digugurkan daripada Program Podium kerana tanpa alasan kukuh.

Ia berlarutan apabila Nur Ayuni dan Muslifah disingkirkan daripada skuad menembak bagi Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu.

Disiarkan pada: July 18, 2018 @ 9:10pm
d