arena

Sakit tak halang Najib raih pingat

Oleh Haika Khazi

BIARPUN terpaksa menahan sakit selain kaki kirinya masih terasa kebas, ia bukan penghalang buat jaguh berbasikal para C4 negara, Mohd Najib Turano untuk menjalani latihan intensif sebagai persiapan untuk menghadapi saingan dalam acara pecut berpasukan campuran di Sukan Para Asia 2019 di Jakarta, Oktober depan.

Pemenang empat pingat emas di Sukan Para ASEAN 2017 (Para KL2017) itu menegaskan dia perlu menjalani latihan intensif dan lebih keras kerana pasukan lain terutama Iran dan Jepun sudah pastinya sedang menyusun strategi masing-masing bagi merebut pingat emas dalam acara terbabit.

“Biarpun terpaksa menahan sakit ketika berkayuh saya tetap kena kuat semangat meneruskan latihan keras demi memastikan kami menang sekurang-kurang pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan campuran di Sukan Para Asia 2018 nanti.

“Saya juga sedang mengintai peluang dan menyusun strategi untuk menaiki podium dalam dalam acara 1KM dan 4KM kejar mengejar individu lelaki, biarpun sedar saingan sengit peserta dari negara lain terutama China, Jepun dan Iran,” katanya ketika dihubungi.

Nama Najib mula meniti di bibir peminat lumba basikal negara selepas meraih empat emas, masing-masing dua dalam acara lebuh raya dan trek Sukan Para KL2017, sekali gus membolehkannya membawa pulang RM50,000 daripada Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Majlis Sukan Negara, tahun lalu.

Pada masa sama, kejayaan untuk kekal dalam Program Podium turut membakar semangat Mohd Najib mengintai pingat emas acara lumba basikal kejar mengejar 4 kilometer C4 (kecacatan kaki) di Sukan Para Asia 2018.

Najib juga berharap kejayaan di Sukan Para Asia 2018 penting untuk membolehkan dia meneruskan rentak kemenangan dan momentum untuk melepasi sesi kelayakan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 (Paralimpik 2020) bermula November depan.

Disiarkan pada: July 18, 2018 @ 11:15pm
d