arena

Mourinho yakin Pogba cemerlang

Oleh AFP

JOSE Mourinho yakin keghairahan merangkul Piala Dunia akan memberikan rangsangan tambahan dalam karier Paul Pogba di Manchester United.

Pogba dikritik hebat sesetengah peminat mengenai persembahannya bersama United musim lalu dan dia juga diletakkan di bangku simpanan ketika babak kedua kempen.

Bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu memainkan peranan penting dalam kejayaan Perancis di Russia, terutama pada final apabila dia menjaringkan gol ketiga skuad kendalian Didier Deschamps berdepan Croatia.

Walaupun Mourinho kini boleh menjangkakan dia tidak dapat bersama Pogba untuk permulaan Liga Perdana Inggeris bulan depan, bos United itu percaya pemain tengah itu pasti berada dalam keadaan yang hebat apabila dia melaporkan diri untuk tugasan kelab.

“Menang Piala Dunia boleh menjadi perkara positif. Adalah sukar untuk menyatakan menang Piala Dunia tidak bagus untuk karier seseorang pemain. Ia menakjubkan, hebat,” kata Mourinho di Los Angeles, pada permulaan jelajah pramusim United di Amerika Syarikat.

“Ramai pemain bagus tidak pernah ada peluang menjadi juara dunia atau negara mereka tidak cukup kuat.

“Bagi Paul, saya rasa ia adalah Piala Dunia pertama dilaluinya dan bergelar juara dunia pastinya sesuatu yang menakjubkan.

“Ia pasukan muda, selain (Hugo) Lloris, mereka ada ramai pemain dari kejohanan Euro dan Piala Dunia. Jadi saya rasa masa depan buatnya bersama pasukan kebangsaan Perancis akan lebih cerah.

“Saya harap dia faham kenapa dia terlalu bagus. Ia hakikat mengenai tahap persembahannya serta sumbantgannya kepada pasukan juara.

“Penting juga buatnya memahami kenapa dia terlalu bagus pada babak kedua kejohanan itu. Pada final, dia terlalu cemerlang.”

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 8:49am
d