arena

Stich, Sukova sertai dewan kemasyhuran tenis

Oleh AFP

BEKAS juara Wimbledon, Michael Stich dari Jerman dan juara beregu Grand Slam 14 kali, Helena Sukova dari Republik Czech akan disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Tenis Antarabangsa, Sabtu ini.

Stich, 49, dan Sukova, 53, akan dinobat pada satu majlis di Dewan Kemasyhuran Klasik ATP di Newport, Rhode Island.

Stich menang satu-satunya gelaran perseorangan Grand Slam di Wimbledon pada 1991, menundukkan rakan senegara Boris Becker dalam tiga set terus pada final. Dia muncul naib juara pada Terbuka AS 1994, tewas di tangan Andre Agassi dan pada Terbuka Perancis 1996, kalah kepada pemain Russia, Yevgeny Kafelnikov.

Bekas pemain nombor dua dunia itu bergandingan dengan Becker untuk memenangi emas beregu lelaki Sukan Olimpik Barcelona 1992 selain berpasangan dengan pemain Amerika Syarikat, John McEnroe untuk merangkul kejuaraan beregu lelaki Wimbledon 1992.

Stich, kini pengarah kejohanan Terbuka Jerman ATP di Hamburg, menang 18 kejuaraan perseorangan dalam 31 final sebelum bersara pada 1997.

“Ia satu penghormatan menakjubkan,” kata Stich. “Saya berasa bangga tersenarai dalam kalangan pemain tenis elit, kebanyakannya saya kagumi dan mendapat inspirasi sepanjang karier saya.”

Sukova, pemain nombor satu beregu dunia selama 68 minggu, meraih sembilan gelaran beregu wanita Grand Slam dan lima kejuaraan beregu campuran. Koleksi trofi beregunya termasuk empat wanita dan tiga campuran di Wimbledon, masing-masing satu di Terbuka Perancis, dua wanita dan satu campuran di Terbuka AS dan dua wanita pada Terbuka Australia.

Dalam acara perseorangan, Sukova pernah menduduki tangga keempat dunia dan layak ke final dua kali pada Terbuka AS dan Terbuka Australia. Dia merangkul 10 kejuaraan perseorangan selain 69 gelaran beregu sepanjang kariernya sebelum bersara pada 1998.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 10:39am
d