arena

'Selangor OK saja...'

Oleh Mohd Amin Jalil

KETUA jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir menafikan ada gangguan atau masalah dalam pasukan itu hingga membuatkan rentak mereka terjejas dan mencatat keputusan mengecewakan dalam beberapa perlawanan Liga Super sejak akhir-akhir ini.

Tegas pengendali yang memulakan tugas itu April lalu, suasana dalam pasukan tetap baik dan pemain sentiasa memberikan tumpuan kepada usaha untuk mempertahankan kredibiliti pasukan, yang begitu gah dalam persada bola sepak tempatan suatu ketika dahulu.

“Tiada apa-apa masalah atau perselisihan yang berlaku dalam kem Selangor kerana ketika ini semuanya dalam keadaan baik, malah hubungan antara pemain juga kekal memuaskan.

“Kegagalan kami mengekalkan rentak kemenangan dalam beberapa perlawanan bukan disebabkan ada masalah dalam pasukan sebaliknya ia berpunca daripada perkara yang tidak boleh dielakkan seperti kecederaan dan sebagainya.

“Sebagai jurulatih amat sedar, saya tidak boleh bagi alasan dan hakikatnya kami perlu bekerja lebih keras untuk mempertahankan maruah Selangor dalam liga ini kerana menduduki tempat kesembilan carta sememangnya agak kritikal,” katanya selepas perlawanan dengan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Pada perlawanan itu, Selangor gagal meneruskan rentak mereka apabila tewas 1-3 kepada skuad Hobin Jang Hobin, sekali gus mengekalkan Red Giants di tangga kesembilan carta dengan 21 mata.

Skuad itu akan menghadapi tiga perlawanan terakhir musim ini menentang Melaka United, PKNP FC dan Terengganu FC.

Mengulas lanjut, Nazliazmi berkata, mereka masih yakin dengan kemampuan anak buahnya termasuk pemain muda yang diketengahkan pasukan itu, namun tidak menafikan pengalaman membezakan mereka dengan pemain dari pasukan lain.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 12:16pm
d