arena

Hamilton tekad kacau 'mood' Vettel

Oleh AFP

HOCKENHEIM, Jerman: Kurang dua minggu selepas kekalahan pada Grand Prix British, Lewis Hamilton berusaha untuk menjejaskan kepulangan Sebastian Vettel ke Hockenheim seperti kejayaan pemandu Jerman itu meranapkan impiannya di Silverstone.

Ketika kejuaraan Formula Satu dunia menuju ke pertengahan saingan dan permusuhan mereka kelihatan semakin panas, pendahulu kejuaraan Vettel berpeluang untuk mengukuhkan cengkaman bersama Ferrari ketika pasukan Hamilton, Mercedes, yang turut berlumba di halaman sendiri, sedia untuk memulihkan tahap konsisten mereka.

Vettel mendahului Hamilton dengan lapan mata selepas kejayaannya di Silverstone dan pasti mahukan satu lagi kemenangan, di depan keluarga, rakan dan penyokongnya, untuk memastikan mendahului dengan selesa menjelang rehat musim panas Eropah.

Ia juga akan memberikan kepuasan kepada prinsipal pasukan Ferrari, Maurizio Arrivabene yang mana selepas perlumbaan di Britain, mendedahkan Mercedes patut malu mengenai kenyataan mereka terhadap Ferrari.

Pengarah teknikal Mercedes, James Allison dipetik menyatakan bahawa kemalangan pada pusingan pertama di Perancis dan Britain, yang menyaksikan jentera Ferrari berlanggar dengan Mercedes, adalah “secara sengaja atau tidak cekap.”

Tidak banyak diperkatakan sebaik isu itu diselesaikan dan juara bertahan empat kali Hamilton berang apabila menganggap Kimi Raikkonen yang melanggarnya sebagai “bengap.”

Namun pertelingkahan itu membuktikan ketegangan antara dua pasukan dan pemandu mereka ketika mereka bersaing merebut mata dalam perebutan kejuaraan yang tidak menentu tahun ini.

Vettel, yang dilahirkan di bandar berdekatan Heppenheim, tidak pernah menang di Hockenheim dan hanya menang sekali di Jerman iaitu di Nurburgring, manakala Hamilton menang di litar Baden-Wurttemberg pada 2016 dan memburu kemenangan keempat keseluruhan di Jerman.

Berikutan beberapa persembahan tidak dijangka dalam beberapa perlumbaan terakhir, Mercedes terdesak untuk bangkit.

“Hadir ke Hockenheim sering kali berasa seperti pulang ke kampung halaman,” kata prinsipal pasukan itu Toto Wolff.

“Ia hanya kira-kira 90 minit pemanduan dari ibu pejabat Daimler di Stuttgart. Kami akan berjuang bukan saja untuk memberikan persembahan baik buat rakan dan peminat di Hockenheim, tapi juga meraih keputusan yang kami harapkan.”

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 2:28pm
d