arena

Sedia nilai semula kuota import

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedia menilai semula kuota lima pemain import termasuk satu dari ASEAN sekiranya mendapat permintaan daripada pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam menjelaskan, keputusan awal berkenaan kuota import ASEAN adalah untuk tempoh tiga tahun bagi melihat impak keseluruhannya kepada Liga M.

Namun, beliau berkata, MFL sentiasa memberi ruang buat semua pasukan yang juga rakan kongsi dalam badan pengelola Liga M itu untuk memberi cadangan menerusi saluran yang betul.

“Kita tiada apa-apa perancangan untuk kaji semula kecuali ada permintaan daripada pasukan sendiri di mana pasukan ini sebagai rakan kongsi di dalam MFL.

“Mereka ada ruang tersendiri untuk mengusulkan sesuatu isu yang mahu dipertimbangkan oleh MFL. Jadi, kita ada Lembaga Pengarah dan kongres di mana kita akan bincangkan perkara seperti ini.

“Namun, setakat ini tiada apa-apa permintaan dan ketika kita buat keputusan ini tahun lalu, ia untuk jangka masa tiga tahun dan kita akan kaji semua selepas itu,” katanya.

Biarpun matlamat utama MFL memperkenalkan kuota import ASEAN bermula musim ini bagi meningkatkan nilai komersial Liga M, namun ia tetap mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif.

Ada pihak yang menganggap pengambilan import ASEAN membebankan pasukan dan Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah dalam laporan sebelum ini mengakui pasukan Liga M perlu berbelanja besar jika mahu mendapatkan pemain berkualiti dari negara jiran.

Selain itu, berdasarkan pemantauan MFL sepanjang musim ini, Kevin menjelaskan terdapat perkembangan baik Liga M terutama dari aspek tontonan siaran langsung dalam talian di rantau ASEAN.

“Bagi kita, minat dari negara ASEAN yang lain untuk lihat perkembangan liga kita amat besar sekali pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

“Jadi bagi saya, buat permulaan ia sedikit sebanyak mencapai matlamatnya. Masa kita putuskan perkara ini, memang kita mengatakan bahawa ia adalah satu keputusan komersial yang kita buat untuk tingkatkan nilai liga di rantau ASEAN,” katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 4:54pm
d