arena

PKNP optimis kekal Liga Super

Oleh Azizan Hashim

PERBADANAN Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC yakin mampu kekal di Liga Super tahun depan biarpun keputusan aksi menentang PKNS FC malam tadi tidak memihak kepada mereka.

Pengendali pasukan, Abu Bakar Fadzim berkata, baki tiga perlawanan lagi akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mengumpul mata yang mencukupi bagi kekal dalam liga elit itu.

Setakat ini, PKNP menduduki tangga kelapan dengan 22 mata selepas tewas 0-1 di tangan PKNS FC.

“Kami ada baki tiga perlawanan iaitu bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor dan Kedah.

“Kami akan beri tentangan kepada semua pencabar kami itu,” kata Bakar.

Berdasarkan aksi anak buahnya ketika menentang PKNS FC malam tadi, Bakar yakin pasukan konglomerat itu tidak bermasalah untuk kekal tahun depan.

“Kami mahu meletak satu asas yang kukuh untuk tahun depan. Sama ada pasukan akan terus wujud atau tidak, kami mahu buktikan skuad yang tidak mempunyai bajet besar juga boleh berjaya jika memiliki bahan yang mantap,” katanya.

Menurut jurulatih itu, masalah utama PKNP FC ketika ini adalah ketumpulan jentera serangan.

“Kami tiada penjaring. Gol yang peroleh setakat ini disumbang oleh pemain tengah dan pertahanan,” katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 7:36pm
d