arena

Fuad sedia hadap Sukan Asia

Oleh Haika Khazi

KUALA LUMPUR: Petinju negara, Muhamad Fuad Mohd Redzuan mahu mengelak daripada bertemu jaguh tinju dari negara seperti Kazakhstan, Uzbekistan, China, Filipina dan Thailand di pusingan awal di Sukan Asia Jakarta - Palembang, Ogos depan.

Pemenang pingat emas dalam kategori light fly 49 kilogram (kg) ke bawah di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu berkata, ia perlu dielak sekiranya mahu pergi lebih jauh di Sukan Asia 2018 nanti.

Sebelum ini, Muhamad Fuad yang dibimbing jurulatih Azmi Md Yunos, terpaksa menarik diri daripada beraksi di Sukan Komanwel Gold Coast selepas mengalami kecederaan tulang pipi kiri ketika bertempur dengan petinju dari Korea Selatan di saingan pra-Sukan Asia Jakarta, Februari lalu.

“Saya bersyukur kerana sudah boleh kembali berlatih seperti biasa selepas terpaksa berehat beberapa bulan akibat retak tulang pipi kiri ketika suku akhir pra-Sukan Asia, beberapa bulan lalu.

“Malah, pipi kiri saya sudah tidak terasa sakit biarpun ditumbuk peninju lain dalam beberapa perlawanan ujian sebelum ini. Jadi saya sudah benar-benar bersedia untuk menghadapi cabaran di Sukan Asia nanti.

“Walaupun terasa agak janggal kerana menjadi atlet sukan tinju tunggal dihantar persatuan ke Sukan Asia namun saya enggan menjadikannya sebagai alasan untuk tidak melakukan yang terbaik demi negara,” katanya.

Fuad mencatat sejarah apabila merangkul pingat emas kategori light fly 49 kilogram (kg) yang pertama dalam sejarah tinju negara di KL2017 selepas menewaskan petinju Thailand, Thani Narinram.

Bagaimanapun, dia hanya meletakkan sasaran mara ke suku akhir kerana ramai jaguh dunia dari negara lain turut mengesahkan diri untuk bertanding.

“Bagi saya dalam acara tinju Sukan Asia ini sebenarnya lebih mencabar berbanding Sukan Olimpik kerana peserta benua Asia kuat-kuat belaka.

“Malah, 10 petinju terbaik dunia dalam kategori ini berasal dari negara Asia seperti Kazakhstan, Uzbekistan, Filipina dan Timur Tengah,” katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 10:25pm
d