arena

AS 'luluskan' visa Sanchez

Oleh AFP

ALEXIS Sanchez akan menyertai Manchester United bagi jelajah pra-musim di Amerika Syarikat (AS) selepas kelab Inggeris itu mengesahkan isu membabitkan visa penyerang Chile itu sudah diselesaikan.

Sanchez tiada dalam penerbangan skuad United ke Los Angeles, Ahad lalu disebabkan oleh ‘isu pentadbiran.’

Begitupun, pihak berkuasa AS kemudian meluluskan visa bekas pemain Arsenal itu yang dilaporkan bermasalah untuk memasuki negara berkenaan berikutan hukuman penjara selama 16 bulan yang diterimanya atas kesalahan cukai di Sepanyol.

Bercakap mengenai ketiadaan Sanchez di pra-musim, pengurus United, Jose Mourinho berkata: “Ia sesuatu yang amat buruk dan dia amat sedih.

“Ia sesuatu yang tidak bagus untuknya dan juga untuk saya, atau juga untuk pasukan. Tiada sesiapapun untuk disalahkan. Saya tahu kelab berusaha tetapi pihak berkuasa AS mempunyai proses mereka sendiri.”

Tetapi, Sanchez kemudian diberikan visa dan akan menyertai skuad Mourinho sebagai persediaan menghadapi musim baharu Liga Perdana Inggeris musim depan.

“Isu membabitkan Sanchez sudah selesai dan dia akan pergi ke AS dalam masa terdekat,” kata jurucakap United kepada Guardian.

Sanchez kemudian memaparkan gambarnya di laman sosial Instagram dengan keterangan gambar: “Akan berlatih dengan Manchester tidak lama lagi, diikuti” gambar bendera AS.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 1:29am
d