arena

Kisner pendahulu Terbuka British

Oleh AFP

KEVIN Kisner dari Amerika Syarikat menjadi pendahulu selepas pusingan pertama Terbuka British hari ini, namun Rory McIlroy antara nama besar yang memulakan kempen memburu Claret Jug dengan permulaan memberangsangkan di Carnoustie.

Kisner tampil dalam satu daripada kumpulan awal sebelum 8 pagi waktu tempatan namun, catatan lima bawah par 66 dilakukannya gagal diatasi sepanjang hari ketika juara bertahan Jordan Spieth dan nama besar lain gagal memperagakan kehebatan di lapangan golf Scottish itu.

Ia bermakna Kisner mendahului satu pukulan di puncak senarai pendahulu.

“Lapangan golf ini hebat buat saya,” kata pemain berusia 34 tahun itu, yang mendahului menjelang pusingan akhir Kejuaraan PGA tahun lalu sebelum akhirnya berkongsi tangga ketujuh.

“Sebelum datang, saya tidak tahu apa yang akan dihadapi di Scotland. Saya hanya tahu hujan akan turun esok,” ujar Kisner, yang berkongsi rumah dengan Spieth dan beberapa bintang AS minggu ini.

Kisner membenam satu eagle dan empat birdie di pantai timur Scotland itu dan dia mendahului rakan senegara Tony Finau serta dua pemain Afrika Selatan, Erik van Rooyen dan Zander Lombard, yang pulang dengan catatan 67.

Seorang lain pemain Afrika Selatan, Brandon Stone, menyertai dua pemain AS, Ryan Moore dan Brendan Steele mencatat tiga bawah par 68 manakala McIlroy tiga pukulan di belakang pendahulu dengan dua bawah par 69.

Kembali ke lapangan yang mana dia muncul pemain amatur terbaik kali terakhir Terbuka British dianjurkan di lapangan itu pada 2007, bintang Ireland Utara itu mengambil pendekatan menyerang dan hanya bogey satu lubang sepanjang hari di lubang kelima par-empat.

“Itulah perancangan permainan saya minggu ini. Saya yakin itulah cara yang perlu saya lakukan. Ia mungkin tidak sesuai buat setiap pemain, tapi ia jelas berbaloi hari ini,” kata McIlroy, yang mahu menamatkan kemarau empat tahun kejuaraan utama di sini.

Juara PGA, Justin Thomas dan Zach Johnson, juara Terbuka British 2015, turut mencatat dua bawah par di samping bekas juara Masters AS, Danny Willett dan pemain Sepanyol, Jon Rahm.

Sementara itu, Tiger Woods tidak berputus asa ketika dia memulakan hasratnya merangkul satu lagi kejuaraan utama dengan mencatat par 71.

Kini berusia 42 tahun, Woods menjadi pilihan ramai untuk menjulang Claret Jug di sini, 10 tahun selepas dia kali terakhir memenangi kejuaraan utama pada Terbuka AS.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 8:44am
d