arena

Jorginho mahu segar di Chelsea

Oleh AFP

BINTANG baru Chelsea, Jorginho menegaskan dia akan membawakan corak permainan segar dan baharu di kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Pemain tengah Itali itu, yang menyusuli jejak bos baru Blues, Maurizio Sarri dari Napoli, turut memuji keupayaan pengurus itu mencungkil yang terbaik daripada setiap pemainnya.

“Corak permainan saya bukannya sesuatu yang biasa dilihat di England,” kata pemain berusia 26 tahun itu dalam laman web kelab.

“Saya amat berharap ia sesuai dengan permainan di sini dan saya pastinya akan melakukan apa saja yang termampu untuk memastikannya berjaya.

“Saya suka bermain di luar kotak penalti sendiri: pemain yang menerima bola dan kemudian mengatur permainan.”

Ketika skuad Chelsea tiba di Australia untuk memulakan jelajah pramusim mereka, Jorginho yang dilahirkan di Brazil berkata, pemahaman luas Sarri mengenai permainan itu menyumbang peningkatan ketaranya sebagai pemain ketika tiga musim bersama di Napoli.

Chelsea menamakan Sarri sebagai pengurus baru mereka Sabtu lalu. Beliau masih mempunyai kontrak di Napoli sekalipun Carlo Ancelotti menjadi jurulatih baru mereka Mei lalu.

Jorginho menyusuli Sarri ke Stamford Bridge dan berharap kejayaan dinikmati bersama kedua-duanya dalam Serie A boleh diulangi di England.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 10:46am
d