arena

Nilai kuota ASEAN selepas 2020

Oleh Zulfaizan Mansor

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan penilaian mengenai impak keseluruhan pelaksanaan kuota import ASEAN hanya akan dilihat selepas saingan Liga Malaysia musim 2020.

MFL membuat pengesahan itu susulan laporan Sukan NSTP semalam yang memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam bahawa kuota import ASEAN mungkin dinilai semula sekiranya ada permintaan daripada pasukan Liga M.

Bagaimanapun, MFL dalam kenyataannya malam tadi, menjelaskan tiada sebarang perancangan untuk penilaian semula dilakukan berkenaan isu kuota import ASEAN dan badan pengelola Liga M itu sentiasa konsisten serta jelas mengenai perkara itu.

“Kuota import ASEAN ini ternyata membuahkan hasil kepada Liga M yang mana ada peningkatan dari segi penonton di platform digital kami di seluruh benua ASEAN.

“Ia satu anjakan paradigma buat kami dan perlu diambil perhatian bahawa penilaian kejayaan kuota ini perlu dilihat selepas tiga tahun pelaksanaan untuk benar-benar mendapatkan impaknya,” menurut MFL.

Berdasarkan laporan Sukan NSTP itu juga, Kevin menjelaskan pasukan Liga M yang juga rakan kongsi MFL ada platform tersendiri untuk mengusulkan sesuatu isu yang mahu dipertimbangkan oleh lembaga pengarah mereka.

Penetapan kuota import ASEAN mula diperkenalkan dalam Liga M musim ini dan jika ia hanya akan dikaji semula selepas tiga tahun, bermakna semua pihak perlu menunggu selepas musim 2020.

Biarpun matlamat utama MFL memperkenalkan kuota import ASEAN bagi meningkatkan nilai komersial Liga M, namun ia tetap mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif.

Ada pihak yang menganggap pengambilan import ASEAN membebankan pasukan dan Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah dalam laporan sebelum ini mendakwa pasukan Liga M perlu berbelanja besar jika mahu mendapatkan pemain berkualiti dari negara jiran.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 11:53am
d