arena

Malaysia berpeluang ungguli Sukan Sekolah ASEAN

Oleh Jumiati Rosly

SHAH ALAM: Kontinjen Malaysia dijangka mempunyai peluang cerah untuk muncul juara keseluruhan temasya Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN ke-10 yang bermula hari ini, atas kelebihan sebagai tuan rumah.

Sebelum ini, negara muncul juara pada 2010 ketika menjadi tuan rumah edisi kedua temasya selepas berjaya meraih sebanyak 46 pingat emas, 37 perak dan 24 gangsa. 

Pada temasya kali ini, sebanyak 123 pingat emas dipertaruhkan menerusi 11 jenis sukan yang dipertandingkan iaitu gimnastik artistik, olahraga, badminton, bola keranjang, bola tampar, ping pong, bola jaring, sepak takraw, renang, gimrama dan skuasy.

Namun kehebatan juara bertahan sebanyak dua kali berturut-turut sejak 2016, Thailand tidak boleh dipandang mudah dengan Indonesia yang juga naib juara edisi lepas sudah melaungkan amaran untuk muncul juara keseluruhan pada kali ini.

Kekuatan kontinjen negara kali ini pastinya terletak pada sukan skuasy yang dijangka tidak menghadapi masalah menyapu bersih semua tujuh pingat emas yang dipertandingkan.  

Olahraga pula bakal menjadi tumpuan dengan sukan itu menawarkan pingat terbanyak iaitu 38 emas dan kontinjen negara mengharapkan sekurang-kurangnya 13 emas dapat dihasilkan.

Ketua kontinjen negara, Zainal Abas berkata skuad bola jaring negara juga mempunyai peluang untuk merampas satu-satunya pingat emas yang dipertaruhkan dengan pemain negara mempunyai ramai pemain berbakat untuk menjuarai acara itu.

Katanya, peluang untuk muncul juara keseluruhan boleh dicapai jika kontinjen negara dapat melepasi satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pingat emas yang ditawarkan iaitu kira-kira 40.

"Walaupun tiada sasaran tertentu diletakkan, tetapi selaku tuan rumah atlet negara mempunyai peluang untuk mempamerkan kehebatan masing-masing apabila beraksi di tempat sendiri," katanya yang ditemui NSTP di pusat media di sini hari ini.

Perasmian temasya Sukan Sekolah ASEAN ke-10 ini disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA (UITM) sebentar tadi.

Seramai 1,609 atlet dan pegawai dari 10 negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam turut serta pada temasya kali ini yang akan berlangsung selama lima hari.

Atlet gimrama negara, Izzah Amzan diberi penghormatan selaku pembaca ikrar dengan gimnas negara itu menghadiahkan empat pingat emas pada temasya lalu di Singapura dan turut menyumbang dua pingat emas pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur manakala atlet lompat kijang dan lompat jauh negara, Muhamad Nazri Mustafa pula dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang negara.

 

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 7:50pm
d