arena

Aston Villa dapat wang besar

Oleh Reuters

LONDON: Aston Villa bakal menerima ‘pelaburan bermakna’ daripada NSWE, iaitu sebuah syarikat milik bersama jutawan Mesir, Nassef Sawiris dan rakan dari Amerika Syarikat, Wes Edens, lapor kelab berkenaan hari ini.

Menurut Forbes, kekayaan Sawiris dianggarkan AS$4 bilion (RM16 bilion) manakala rakannya dari Amerika Syarikat, Edens adalah pemilik kelab bola keranjang Milwaukee Bucks yang beraksi di Liga NBA.

Pemilik Villa, Dr Tony Xia, kekal sebagai ahli lembaga pengarah kelab itu dan dilantik sebagai pengerusi bersama.

“Saya amat bangga dapat menjalin kerjasama strategik dengan Nassef dan Wes,” kata Dr Xia menerusi satu kenyataan yang diedarkan.

“Kami memiliki persamaan hasrat iaitu melihat Aston Villa terus mengecapi pelbagai kejayaan selaras dengan matlamat kerjasama pelaburan ini.

“Kami hampir mendaki ke liga utama musim lalu dan ia adalah satu pengalaman berharga. Dengan kerjasama dengan Nassef dan Wes ini, kami di kelab ini akan bekerja keras mencapai hasrat itu.”

Villa tewas pada aksi final playoff  di tangan Fulham Mei lalu dan sejak itu aspek kewangan kelab itu menjadi makin parah.

Menurut laporan BBC, Villa turut gagal melunaskan 4 juta pound (RM21 juta) cukai pada Jun sebelum mencapai persetujuan penangguhan dengan pihak berkuasa cukai Britain.

Villa juga tidak mampu mendapatkan muka baru bagi memulakan kempen musim 2018-19 berikutan berdepan masalah kewangan.

Bekas kapten England, John Terry sudah meninggalkan Villa Park hujung musim lalu manakala media di sini melaporkan pemain tengahnya, Jack Grealish pula dikaitkan dengan perpindahan ke Tottenham Hotspur.  

Disiarkan pada: July 21, 2018 @ 12:11am
d