arena

Mbappe terbaik dunia: Bakayoko

Oleh Agensi

PERTH: Pemain tengah Chelsea, Tiemoue Bakayoko percaya rakan senegaranya, Kylian Mbappe adalah pemain terbaik dunia berikutan persembahannya ketika Perancis menjuarai Piala Dunia di Russia.

Pemain berusia 23 tahun itu beraksi bersama Mbappe ketika di Monaco dan juga skuad kebangsaan justeru dia berfikir pemain yang dinobatkan pemain muda terbaik kejohanan di Russia itu lebih baik berbanding Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Pada usia 19 tahun, Mbappe menjadi pemain remaja pertama menjaringkan gol di final Piala Dunia sejak legenda Brazil, Pele melakukannya di usia 16 tahun pada 1958.

“Saya tidak terkejut dengan kejayaannya, dia masih amat muda tetapi dia sudah cukup matang,” kata Bakayoko.

“Dia pemain yang amat pintar dan saya fikir dengan karektornya, dia adalah pemain terbaik di dunia. Jangan lupa dia juga amat muda dan tidak mudah untuk bermain dengan pemain yang lebih berusia dan menjadi amat pantas di atas padang.”

Pujian Bakayoko hadir selepas pertahanan Perancis dan Real Madrid, Raphael Varane menggambarkan Mbappe sebagai ‘makhluk asing’ dan pemain yang memahami sepenuhnya arahan sekali pun ia belum dijelaskan sepenuhnya.

Begitupun, ketika Mbappe dan skuad kebangsaan Perancis menjulang kejayaan di Russia, Bakayoko terpaksa menyaksikan keraian itu dari kediamannya. 

Sekali pun tidak tersenarai, dia mengakui dua rakan sepasukannya di Chelsea, Olivier Giroud dan N'Golo Kante beraksi dengan cukup baik.

Disiarkan pada: July 21, 2018 @ 11:28pm
d