arena

Rama tekad hapus kemarau 20 tahun

Oleh AFP

NEW YORK: Ramkumar Ramanathan akan cuba meneruskan rekod kejayaan India dalam kejohanan ATP di Newport apabila dia berdepan pilihan ketiga Steve Johnson pada final, awal pagi esok.

Ramanathan, pemain ranking ke-161 dunia, menundukkan pemain Amerika Syarikat, Tim Smyczek 6-4, 7-5 dalam pertarungan dua pemain yang beraksi kali pertama pada separuh akhir kejohanan gelanggang rumput di Newport, Rhode Island.

Johnson dari AS, yang memburu kejuaraan keempat karier dan kedua tahun ini selepas kemenangannya di gelanggang tanah liat di Houston, menewaskan pemain Sepanyol, Marcel Granollers 6-3, 6-3.

Johnson yang menduduki ranking ke-48 tidak berdepan sebarang mata ‘break’ ketika menang dalam tempoh 69 minit ke atas Granollers, bekas pemain 20 terbaik dunia yang beraksi pada separuh akhir pertamanya dalam Jelajah ATP sejak 2015 dan undian utama peringkat jelajah kali pertama sejak Barcelona, April lalu.

“Gembira meraih satu lagi kemenangan,” kata Johnson. “Puas hati dengan pukulan servis dan bangga ia disempurnakan pada permainan terakhir.”

Ramanathan, pemain pertama India layak ke final acara perseorangan ATP sejak Somdev Devvarman tewas kepada Kevin Anderson di Johannesburg pada 2011, mungkin boleh mendapat inspirasi daripada kejayaan lalu India di Newport.

Usaha pemain berusia 23 tahun itu merebut kejuaraan hadir 20 tahun selepas pemain beregu legenda yang juga idola Ramanathan semasa kecil, Leander Paes merangkul satu-satunya kejuaraan perseorangan ATP buatnya di Newport, kejayaan terakhir perseorangan India dalam jelajah.

Sebelum ini Vijay Amritraj menjulang trofi di Newport pada 1976, 1980 dan 1984.

Disiarkan pada: July 22, 2018 @ 8:16am
d