arena

Neymar 'berkabung' selepas Piala Dunia [METRO TV]

Oleh AFP

PRAIA GRANDE, Brazil: Bintang Brazil, Neymar mengakui selepas kekalahan negaranya pada suku akhir Piala Dunia di tangan Belgium, dia tidak boleh melihat sebiji bola dan tidak mahu menonton mana-mana baki perlawanan.

“Tidaklah sampai saya tidak mahu bermain lagi, tapi saya tidak mahu melihat sebiji bola atau menyaksikan mana-mana perlawanan bola sepak,” kata pemain berusia 26 tahun itu dalam satu temu ramah eksklusif, semalam.

Penyerang Paris Saint-Germain itu bercakap di institut Neymar Praia Grande yang mana kejohanan bola sepak lima sebelah Red Bull Neymar Jr 5s dilangsungkan.

Memakai kemeja-T tanpa lengan sambil meriba anak lelakinya yang berusia enam tahun Davi Lucca, penyerang itu lebih tenang ketika dia menceritakan kekecewaan selepas Piala Dunia.

“Saya berkabung, saya amat sedih mengenainya, tapi kesedihan berlalu, saya mempunyai anak lelaki, keluarga, rakan dan mereka tidak mahu saya menangis berpanjangan. Saya mempunyai lebih banyak alasan untuk bergembira berbanding bersedih,” kata Neymar, merujuk kepada kekalahan 1-2 pasukannya kepada Belgium pada suku akhir.

Ditanya mengenai laporan di Sepanyol mengaitkannya dengan perpindahan ke Real Madrid, penyerang itu berkata “ia semuanya spekulasi daripada wartawan.”

“Orang yang tampil dengan cerita ini lebih mengetahui kehidupan saya berbanding saya sendiri. Saya tidak akan menjawab soalan sebegini kerana tiada apa yang berlaku,” tegasnya.

Neymar yang berpindah ke PSG dengan rekod dunia 222 juta euro (RM1.05 bilion) tahun lalu, dikritik hebat pada Piala Dunia kerana lakonannya yang berguling-guling atau merebahkan badan secara sengaja selepas dikasari namun menyatakan dia sepatutnya mendapat lebih perlindungan.

“Orang lebih pantas mengkritik pemain yang dikasari berbanding pemain yang mengasari,” ujarnya.

“Saya hadir ke Piala Dunia untuk bermain, mengatasi lawan, bukannya dibentes. Kritikan terhadap saya agak melampau tapi saya sudah besar, saya sudah lali dengan perkara sebegini.

“Saya tidak boleh menjadi pengadil dan bermain pada masa sama, tapi ada kalanya saya harap ia sebegitu,” katanya. - AFP

Disiarkan pada: July 22, 2018 @ 9:19am
d