arena

Sathia fokus satu demi satu

Oleh Amin Ridzuan Ishak

SELEPAS bergelar juara Liga Perdana 2018, FELDA United sudah tentu memasang impian melangkah jauh dalam Piala Malaysia termasuk menjuarainya bagi melengkapkan musim gemilang tahun ini.

Namun jurulatih B Sathianathan enggan menetapkan sasaran tinggi sebaliknya mahu fokus diberi sepenuhnya terhadap aksi peringkat kumpulan terlebih dahulu.

Bagi bekas jurulatih pasukan kebangsaan itu, paling penting adalah memastikan kelemahan pasukannya diatasi antaranya kerap melakukan kesilapan mudah seperti dilihat pada perlawanan liga menentang PDRM malam tadi yang menyaksikan mereka seri 2-2.

“Saya gembira pemain beraksi dengan baik sepanjang liga, cuma hari ini ada kurang sikit dan kena perbaiki kerana selepas ini kami akan bermain menentang pasukan Liga Super.

“Kami tidak boleh melakukan kesilapan yang menyebabkan gol pertama serta kedua pasukan lawan malam ini (menentang PDRM)... kami ada banyak peluang tapi gagal memanfaatkannya dan hampir juga dihukum pasukan lawan,” katanya ditemui selepas sambutan kejuaraan Liga Perdana di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, dekat sini, malam tadi.

Pada perlawanan menentang PDRM malam tadi, FELDA dihukum hanya selepas 30 saat berpunca kesilapan pemain tengah, Stuart Wark apabila hantaran lemahnya kepada penjaga gol, Farizal Harun sampai kepada penyerang lawan Arif Mat Asin yang mudah menjaringkan gol.

Gol kedua PDRM juga berpunca kesilapan Wark yang terlepas bola dalam kawasan sendiri dan Arif lantas mengambil peluang itu menewaskan Farizal yang keluar daripada gawangnya untuk menyelamatkan bola.

Bagaimanapun, FELDA berjaya menyelamatkan maruah daripada diaibkan di tempat sendiri dengan memperoleh gol penyamaan menerusi penalti Thiago Augusto Fernandes dan jaringan Gilberto Fortunato.

Dalam pada itu, Sathianathan berkata, beliau mengambil kesempatan untuk menyenaraikan Syamim Yahya dalam kesebelasan utama selepas lima bulan tidak beraksi kerana kecederaan.

“Saya dapat lihat dia kurang cergas, tapi saya yakin menjelang Piala Malaysia prestasinya akan kembali seperti biasa... saya juga ambil kesempatan merehatkan Shukor Adan yang bermain tanpa henti 20 perlawanan termasuk Piala FA.

“Hari ini Danial Amier (Norhisham) bermain dengan amat baik sekali di bahagian tengah,” katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2018 @ 12:39pm
d