arena

Hamilton lakar kemenangan ke-66

Oleh Reuters 

LEWIS Hamilton yang memulakan perlumbaan dari petak ke-14, melakar kemenangan menakjubkan di Grand Prix (GP) Jerman sekali gus merampas semula kedudukan pendahulu Formula Satu (F1) daripada Sebastian Vettel yang terbabit kemalangan.

Pelumba Ferrari, Vettel yang kini ketinggalan 17 mata di belakang Hamilton memulakan perlumbaan di Litar Hockenheim di petak utama sebelum hujan menyebabkan keadaan menjadi kelam kabut di hujung saingan.

Keadaan hujan menyaksikan jenteranya terbabas sebelum melanggar tembok penghadang di depan penyokongnya sendiri.

Pelumba Mercedes, Hamilton menamatkan perlumbaan di depan rakan sepasukan, Valtteri Bottas dan seorang lagi pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen.

Ia adalah kemenangan ke-66 dilakar pelumba kelahiran Britain itu dan selepas berakhir perlumbaan, cuaca bertambah buruk yang mungkin akan menghentikan saingan sekiranya perlumbaan sedang berlangsung.

"Keajaiban sentiasa berlaku," kata jurutera Mercedes, Pete Bonnington kepada Hamilton menerusi radio pasukan.

Selepas ditewaskan oleh Vettel pada di GP British dua minggu lalu, Hamilton melalui nasib yang lebih baik pada perlumbaan kali ini.

"Ia perlumbaan yang sangat sukar selepas bermula dari kelompok belakang tetapi saya sentiasa yakin peluang masih ada untuk mencatatkan kemenangan,” kata Hamilton.

"Saya berjaya memenuhi impian itu hari ini," katanya.

 

 

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 1:17am
d