arena

Kemenangan terindah Hamilton di Jerman

Oleh AFP

HOCKENHEIM, Jerman: Lewis Hamilton berkata, dia tidak pernah bermimpi untuk menghadapi perlumbaan cukup luar biasa susulan kejayaannya muncul juara Grand Prix (GP) Jerman, awal pagi tadi yang menyaksikan pencabar kejuaraan dunia, Sebastian Vettel terbabit kemalangan.

Tiga hari selepas memperbaharui kontraknya bersama Mercedes untuk tempoh dua tahun lagi, juara dunia itu mencipta keajaiban apabila dia dan rakan sepasukannya, Valtteri Bottas menghadiahkan pasukannya penamat satu-dua buat kali pertama di Jerman.

Hamilton memulakan perlumbaan di petak ke-14 tetapi dengan kombinasi antara kemahiran, kelajuan dan taktikal berjaya memberi kelebihan buat dirinya untuk melakar kejayaan yang disifatkan sesuatu mustahil untuk dilakukan.

“Ia sememangnya sukar apabila bermula di kedudukan seperti itu tetapi kamu perlu ada kepercayaan. Saya berdoa panjang sebelum perlumbaan, saya mahu kekal tenang dan pasukan melaksanakan tugas mereka dengan baik hari ini.

“Apabila hujan mula turun, saya tahu saya ada kedudukan yang baik. Kamu tidak tahu apa akan berlaku selepas kereta keselamatan keluar.

“Bagi sesiapa yang tidak mengenali saya sebeluim ini, sekarang kamu tahu. Ia sesuatu yang hebat apabila dapat menamatkan perlumbaan dengan kedudukan satu-dua di laman Mercedes sendiri.

“Saya tidak pernah dapat merasai perlumbaan menakjubkan seperti ini,” kata Hamilton.

Sebagai rekod, ia kejuaraan keempat buat Hamilton tahun ini, kali ke-44 buat Mercedes dan 66 sepanjang kerjayanya.

Kejayaan itu menyaksikan dia merampas kedudukan pendahulu kejuaraan dunia daripada Vettel dengan kelebihan 17 mata.

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 7:51am
d