arena

Maciel tarik nafas lega

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: “Kerja saya sudah selesai,” kata pengendali Kuala Lumpur, Fabio Maciel sejurus Kuala Lumpur menewaskan Negeri Sembilan 2-1 malam tadi sekali gus kekal beraksi dalam saingan Liga Super pada musim hadapan.

Meskipun bergelut pada musim ini, kemenangan yang diraih ke atas skuad Hobin Jang Hobin itu  bukan sahaja memastikan skuad The Hawks kekal berada dalam kelompok elit bola sepak negara tetapi turut layak menyertai saingan Piala Malaysia.

“Sudah tentu saya gembira kerana tugas utama saya untuk memastikan Kuala Lumpur kekal bersaing dalam Liga Super musim hadapan.

“Saya tahu tugas ini tidak mudah memandangkan saingan Liga Super sengit. Apapun, kerja saya kini sudah selesai namun sama ada saya akan terus bersama pasukan ini, kita tunggu dan lihat,” kata pengendali kelahiran Brazil itu pada sidang media selepas perlawanan berkenaan.

Pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Kuala Lumpur yang sekadar memerlukan keputusan seri berjaya meraih mata penuh apabila Indra Putra Mahayuddin meledak gol kemenangan pada minit ke-86 selepas pertahanan tuan rumah, Bobirjon Akbrarov dan pemain pelawat, Alex Moraes masing masing meledak gol pada separuh masa pertama.

Mengulas lanjut persembahan anak buahnya, Maciel nyata tidak berpuas hati apabila pemainnya gagal beraksi seperti yang dimahukan.

“Saya tidak berpuas hati dengan cara kami bermain yang mana ia jauh berbeza berbanding persembahan ketika bertemu Perak sebelum ini.

“Kami tidak boleh mengambil risiko dan perlu mengurangkan kesilapan yang boleh membawa padah kepada pasukan kerana aksi ini begitu sengit apatah lagi Negeri Sembilan begitu memerlukan kemenangan.

“Keputusan yang kami peroleh baik namun cara kami bermain tidak begitu memuaskan,” katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 3:15pm
d