arena

Barca sabotaj Roma

Oleh AFP

BORDEAUX: Bordeaux membuat pusingan U dengan tidak melepaskan pemain Brazil, Malcom ke Roma selepas mendapat bidaan saat akhir daripada Barcelona, menurut jurucakap kelab itu, awal pagi tadi.

“Barca menghubungi kami dan menyatakan hasrat mereka,” menurut jurucakap kelab selepas Bordeaux mencapai perjanjian lebih awal untuk menjual Malcom kepada gergasi Itali, Roma.

Pemain berusia 21 tahun itu dijangka tiba di Rome malam semalam untuk menjalani ujian perubatan bagi membolehkannya menyertai rakan sepasukan menghadapi aksi pramusim di Amerika Syarikat namun pernerbangannya telah dibatalkan oleh kelab Ligue 1 itu pada saat akhir.

Barcelona segera menghubungi Bordeaux selepas gagal mendapatkan pemain Chelsea dari Brazil, Willian dan menurut media Itali, bidaan Barca adalah lebih besar dan menarik daripada yang dibuat Roma iaitu 38 juta euros (RM180 juta).

Malcom dilaporkan hangat di pasaran dengan beberapa kelab Eropah termasuk kelab Liga Perdana Inggeris seperti Arsenal dan Tottenham berminat mendapatkannya tetapi dia perlu memperolehi permit kerja terlebih dahulu untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris.

Malcom menjaringkan 12 gol dalam 35 penampilan bersama Bordeaux, musim lepas.

Roma menduduki tempat ketiga di belakang juara Serie A, Juventus dan Napoli untuk layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara 2018/19 dan layak ke separuh akhir.

Disiarkan pada: July 24, 2018 @ 11:07am
d