arena

Perlu cepat sesuaikan diri

Oleh Reuters

 

PERTH: Pemain Chelsea perlu segera menyesuaikan diri dengan cara pengurus baru dari Itali Maurizio Sarri yang mahu merombak pasukan untuk musim baru Liga Perdana Inggeris, kata pemain tengah Cesc Fabregas.

Sarri,59, menggantikan tempat rakan senegaranya Antonio Conte bulan ini dan dikenali sebagai pengurus yang menggemari pendekatan menyerang ketika mengendalikan Napoli.

“Beliau membawa gaya baru, formasi baru dan kita perlu menyesuaikan diri dengannya,” kata Fabregas menerusi laman web kelab itu.

Satu daripada perubahan awal yang bakal dilakukan Sarri adalah meninggalkan sistem tiga bek tengah untuk menurunkan empat pemain di bahagian pertahanan dan Fabregas berkata pasukan itu yang kini menyertai kempen pramusim di Australia kini cuba menyesuaikan diri.

“Kami perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan formasi empat pertahanan dan apa yang dikehendaki pengurus tetapi saya percaya kami pemain pintar dan pemain yang berada pada tahap terbaik akan cuba menyesuaikan dir secepat mungkin,” kata Fabregas.

“Pemain yang ada di sini termasuk pemain muda, cuba menyesuaikan diri secepat mungkin dan kami berharap ini hari terbaik untuk mula melihat apa yang dikehendaki pengurus daripada kami.”

Bek kiri Marcos Alonso tidak sabar mahu melihat impak Sarri terhadap corak permainan pasukan dalam usaha memperbaiki kedudukan berbanding tangga kelima musim lalu.

“Beliau suka bermain bola, suka melakukan serangan, cuba mengawal bola dan permainan,” kata pemain Sepanyol itu.

“Ia mungkin lebih kurang sama dengan cara Sepanyol tetapi mempunyai gaya Itali juga, beliau gemar memperbaiki aspek pertahanan dengan empat pemain, selain memantapkan posisi pemain.”

Chelsea memulakan kempen menerusi Perisai Komuniti menentang juara Manchester City pada 5 Ogos, sebelum bertandang ke Huddersfield Town dalam aksi sulung liga enam hari kemudian.  

 

Disiarkan pada: July 24, 2018 @ 3:07pm
d