arena

Ronaldo mampu julang Juve

Oleh Agensi

TURIN: Cristiano Ronaldo memberikan ‘sesuatu yang lebih’ buat Juventus dan berupaya membantu mereka memenangi Liga Juara Juara, kata Andrea Pirlo.

Skuad Bianconeri itu mencipta kejutan pada jendela perpindahan musim panas ini apabila berjaya memancing khidmat pemenang Ballon d’Or dari Real Madrid itu.

Mereka terpaksa mengeluarkan 100 juta Euro (RM474 juta) untuk mendapatkan khidmatnya namun Ronaldo dilihat masih lagi kuat dan terus memperaga aksi bertenaga meskipun usianya sudah mencecah 33 tahun.

Selepas merangkul kejuaraan Eropah bersama Manchester United di England dan juga Real Madrid di Sepanyol, Pirlo menjangkakan misi sama akan diteruskan Ronaldo yang kini berada di Itali.

Bekas pemain tengah Juventus itu memberitahu Sky Sport Italia, Ronaldo memberikan sesuatu yang diperlukan oleh Juventus.

“Saya gembira juara hebat sepertinya menyertai Juventus. Mendapatkan pemain itu tidak memberi jaminan boleh memenangi Liga Juara Juara tetapi ia membuat Juventus kian hampir untuk memenanginya.

“Ronaldo adalah pemain yang boleh membantu Juventus memenangi Liga Juara Juara.

“Dia pemain terbaik, dia akan memberikan perbezaan dan kita bakal saksikan sesuatu yang indah.”

Juventus tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan Eropah sejak 1996.

Ronaldo mengecewakan mereka dalam dua musim terdahulu, meledak gol penting pada aksi final 2017 dan juga di suku akhir 2018.

Disiarkan pada: July 24, 2018 @ 5:33pm
d