arena

Olahraga pecah 3 rekod kejohanan

Oleh Aida Adilah Mat

KETIKA peluang kuartet 4x400 meter negara menyumbang emas di Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) ke-10 di Bukit Jalil dilhat semakin kabur, langkah bertenaga Muhammad Ilham Suhaimi sebagai pelari terakhir berjaya mengubah segala-gala. 

Sokongan padu beraksi di laman sendiri memberi satu semangat luar biasa buat pelari dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail itu menyusun rentak larian apabila berjaya memintas pelari terakhir Indonesia ketika perlumbaan berbaki 20 meter terakhir. 

Ia satu kejayaan yang memberikan kepuasan buat kuartet yang dianggotai oleh Wan Muhd Fazri Wan Zahari selaku pelari pertama diikuti Rusleem Zikry Putra Rosli,  Aftar Rosli dan Ilham apabila berjaya memecahkan rekod kejohanan.

Mereka mencatatkan masa 3 minit 13.05 saat (s),  memadamkan rekod lama milik kuartet 4x40m Thailand 3:13.36s yang dilakukan pada 2016. 

Pingat perak acara itu dimenangi Indonesia 3:13.29s dan gangsa milik kuartet Filipina 13:18.45s.

Bagi Ilham yang sebelum ini sudahpun menyumbang tiga emas di ASG, dia bertekad untuk mengerah keringat demi untuk Malaysia. 

“Saya berkata pada diri dan kawan-kawan bahawa kami masih ada peluang untuk dapat emas.

“Alhamdulillah kami berjaya menyumbangkan emas untuk negara. Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepada kami. Anda semua adalah kekuatan dan kejayaan kami hari ini,” katanya yang sebelum itu meraih emas dalam acara 4x100m, 400m dan 200m. 

Skuad olahraga negara menutup tirai hari terakhir acara itu dengan pencapaian memberangsangkan apabila mencipta tiga rekod baru kejohanan menerusi kuartet 4x400m, atlet baling tukul besi negara, Grace Wong dan Nurul Alyahaziqah Kamarazaman dalam acara 3,000m jalan kaki. 

  Turut tersenarai sebagai penyumbang pingat negara adalah Mohd Alif Razi menerusi acara merejam lembing (perak), Mahira Hanis Ishak, lompat kijang (gangsa), Muhammad Naufal Shahrul Afzan, lompat bergalah (gangsa) dan Halimaton Saadiah Mohammed Raja, 100m lari berpagar (gangsa). 

  Kejayaan barisan atlet negara pada hari keempat ASG menyaksikan Malaysia terus gah menguasai carta pungutan pingat sebagai pendahulu dengan 30 emas, 26 perak, 25 gangsa. 

  Indonesia di tempat kedua mengumpul 24 emas, 28 perak dan 25 gangsa. Thailand ketiga dengan 15 emas, 18 perak dan 26 gangsa.

Disiarkan pada: July 24, 2018 @ 9:08pm
d