arena

Pellegrini pastikan Hammers lebih kuat

Oleh AFP

LONDON: Manuel Pellegrini belum berpuas hati dan mahu terus memperkuatkan cabaran West Ham walaupun kelab London itu sudah menandatangani tujuh pemain bagi menghadapi musim baru.

Pellegrini menyatakan hasrat itu dalam sidang akhbar pertamanya sejak dilantik menjadi pengurus Hammers bulan lalu.

Pengurus berusia 64 tahun dari Chile itu diapit penyerang Brazil, Felipe Anderson dan bekas pemain tengah Arsenal, Jack Wilshere, dua pemain baru yang tiba di Stadium London menjelang kempen Liga Perdana membabitkan kos £100 juta (RM533 juta).

"Kami sedang berusaha menjadi skuad yang kuat dan tahu Liga Perdana tidak mudah. Kamu bukan sahaja perlukan sebuah pasukan tetapi juga skuad,” kata Pellegrini.

"Kami mempunyai tujuh pemain baru tetapi tiga tonggak kami cedera. Oleh itu, sehingga hari terakhir kami akan membeli pemain dan berusaha membina kekuatan kelab ini,” kata bekas pengurus Manchester City itu sekali gus satu isyarat kepada pemilik Hammers, David Sullivan dan David Gold untuk terus mengeluarkan wang terutamanya selepas Manuel Lanzini, Andy Carroll dan Winston Reid mengalami kecederaan.

Pellegrini yang membawa City menjuarai Liga Perdana pada 2014 meletak jawatan sebagai pengurus kelab China, Hebei China Fortune selepas dua tahun di sana untuk kembali ke England dan misinya sekarang memperkasakan pasukan selepas merosot di bawah kendalian Slaven Bilic dan David Moyes musim lalu.

"Terdapat banyak sebab mengapa saya terima tawaran West Ham dan saya tahu apa itu West Ham dalam bola sepak Inggeris,” kata Pellegrini.

"Banyak aspek perlu diperbaiki dan itu adalah cabaran untuk saya. Ketika perbualan pertama bersama David Sullivan dan (naib pengerusi) Karren Brady, mereka meyakinkan saya bahawa mereka ada projek sangat baik dan mahukan saya menjadi orang di depan,” katanya.

Wilshere, 26, pula menyertai West Ham, kelab yang diminatinya sejak kanak-kanak.

“Ketika mahu meninggalkan Arsenal saya selalu tanya kepada ejen sama ada West Ham berminat mendapatkan saya dan kali ini selepas bercakap dengan Manuel, ia adalah keputusan yang mudah,” katanya.

Anderson pula yang berpindah dari kelab Rome, Lazio sudah lama mengikuti perkembangan West Ham selepas mendapat tahu daripada Javier Mascherano dan Carlos Tevez.

Disiarkan pada: July 25, 2018 @ 9:41am
d