arena

Serena dapat wild card

Oleh Reuters

TORONTO: Bekas pemain wanita nombor satu dunia, Serena Williams diberi tiket wild card untuk beraksi di Piala Rogers, Montreal bulan depan, menurut jurucakap penganjur, semalam. Juara tiga kali kejohanan itu yang melahirkan anak pada September lalu tetapi tewas pada final Wimbledon 10 hari lalu tidak beraksi di Montreal sejak tewas di separuh akhir 2014 dan kali terakhir beraksi di Piala Rogers di Toronto pada 2015.

“Selepas mengumumkan senarai pemain beberapa minggu lalu, kami seperti kehilangan sesuatu apabila ketiadaan Serena untuk melengkapkan deretan pemain impian yang mengambil bahagian,” kata pengarah kejohanan Piala Rogers, Eugene Lapierre dalam satu kenyataan.

“Serena berjaya mengkagumkan semua orang dengan kepantasan dan corak permainannya yang membolehkan dia kembali ke tahap tertinggi. Dia tidak mudah berputus asa dan beraksi seperti pejuang sebenar dan berjaya membuktikannnya sekali lagi.”

Serena kembali bertanding di Indian Wells pada Mac lalu tetapi terkandas di pusingan ketiga. Bagaimanapun, prestasinya terus meningkat selepas itu dan kini menduduki ranking ke-27 dunia.

Tiker wild card diberikan kepada Serena yang menjuarai kejohanan itu pada 2001, 2011 dan 2013, hanya untuk pemain yang menepati kriteria tertentu termasuklah pernah menjadi pemain nombor satu dunia.

Disiarkan pada: July 25, 2018 @ 12:03pm
d