arena

'Tambah parah nampaknya' [METROTV]

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal berdepan laluan lebih berliku dalam acara bola sepak di Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan depan apabila Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut diundi dalam Kumpulan E.

Keputusan itu diperoleh hasil undian tambahan yang hanya membabitkan dua pasukan, Palestin dan UAE di Bukit Jalil, hari ini.

Selain Malaysia dan UAE, Kumpulan E turut dihuni Korea Selatan, Kyrgyzstan  dan Bahrain, manakala Palestin diundi dalam Kumpulan A bersama Indonesia, Hong Kong, Laos dan Taiwan.

Menerusi penambahan itu, pasukan yang berada dalam dua kumpulan itu akan mengharungi satu perlawanan tambahan berbanding Kumpulan B, C, D dan F yang hanya dihuni empat pasukan.

Setiausaha Agung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Ratu Tisha Destria mengesahkan acara bola sepak juga akan bermula lebih awal iaitu 10 Ogos berbanding jadual asal 14 Ogos.

“Kita sekarang perlu memulakan acara bola sepak pada 10 Ogos bagi aksi dua kumpulan ini. PSSI dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bukan penganjur dan kami hanya menguruskan aspek teknikal.

“Segala keputusan berkenaan undian tambahan dan formatnya adalah daripada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC).

“Ia satu keadaan yang sukar buat Indonesia dan Malaysia, tapi kita perlu hadapinya. Jadi, saya ucap selamat berjaya buat kedua-dua pasukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas proses undian, hari ini.

Undian tambahan dilakukan selepas Palestin dan UAE dikatakan tercicir ketika undian pertama pada 5 Julai lalu walaupun sudah mengesahkan penyertaan sebelum tarikh tutup.

Sementara itu, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John tidak menolak kemungkinan berlaku masalah komunikasi yang menyebabkan dua pasukan berkenaan tercicir pada undian pertama.

“Selepas undian pertama membabitkan 24 pasukan, terdapat bantahan daripada UAE dan Palestin apabila nama pasukan mereka tiada.

“Jadi, selepas penganjur meneliti semula, mereka mendapati menerima pengesahan daripada dua pasukan itu sebelum tarikh tutup. Jadi, kita tiada pilihan selain membuat undian sekali lagi,” katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2018 @ 5:13pm
d