arena

Badminton raih 2 emas

Oleh Aida Adilah Mat

SKUAD badminton negara sekadar meraih dua pingat emas dalam final acara individu  Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) di Stadium Juara Bukit Kiara, hari ini. 

Emas negara dipungut dalam acara beregu lelaki dan beregu campuran selepas pemain perseorangan lelaki dan wanita tewas kepada lawan dari Indonesia.

Pasangan Yap Roi King-Gan Jing Er mudah menundukkan beregu campuran Indonesia, M Reezky Al Farez-Ayu Gary Luna Maharani 21-14, 21-17. 

Roi King, 17, yang selepas itu turun beraksi dalam acara beregu lelaki bergandingan bersama Ooi Jhy Dar tidak berdepan masalah menewaskan rakan senegara, Wan Muhammad Arif Shaharudin Wan Mohd Junaidi-Wyman Goh 21-18, 21-12 untuk meraih emas kedua peribadi dan ketiga di kejohanan ini. 

Menurut Roi King, kejayaan meraih tiga emas secara keseluruhan adalah di luar jangkaannya dan optimis kejayaan itu mampu menjadi pembakar semangat sebelum menyertai Kejohanan Antarabangsa di India dan Sukan Malaysia (SUKMA) selepas ini. 

"Saya puas hati dengan pencapaian saya pada penyertaan pertama di kejohanan ini. Saya harap, saya dapat buat lagi bagus selepas ini,” kata Roi King. 

Sementara itu, dalam acara akhir perseorangan lelaki, Jacky Kok sekadar meraih perak selepas tewas kepada Nur Yahya Adi Felani 12-21, 22-20, 19-21, manakala K Letshanaa tewas kepada Aisah Galuh Maheswari dalam perseorangan wanita 21-13, 12-21, 21-23.

Acara beregu wanita dimenangi pasangan Indonesia, Aldira Rizky Putri-Ayu Gary Luna Maharani yang menang selepas rakan senegara Melani Mamahit-Putri Larasati menarik diri kerana kecederaan.

Secara keseluruhan, kontinjen badminton negara menutup saingan dengan tiga emas, tiga perak dan empat gangsa manakala Indonesia mengungguli acara itu apabila mengutip empat emas, tiga perak dan tiga gangsa.  

Disiarkan pada: July 25, 2018 @ 6:16pm
d