arena

'Saya tak mahu jawab...'

Oleh Reuters

SINGAPURA: Bintang Arsenal, Mesut Ozil mengambil pendekatan ‘mengunci mulut’ susulan kontroversi yang melandanya dan fokus terhadap kejohanan pramusim bersama Gunners di sini.

Pemain Jerman berusia 29 tahun itu mencipta kejutan apabila mengumumkan persaraannya daripada skuad kebangsaan, Ahad lalu dan menyalahkan ‘perkauman dan kurang rasa hormat’ oleh pengurusan tertinggi pasukan atas tindakannya.

Jerman tersingkir awal di Piala Dunia Russia dengan Ozil antara yang paling kuat dikritik susulan tindakannya bergambar dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, Mei lalu yang mencetus keraguan mengenai kesetiaannya terhadap skuad kebangsaan.

Membuat penampilan pertama di tempat awam selepas membuat keputusan bersara, Ozil begitupun sentiasa tersenyum ketika majlis bertemu peminat di sini.

“Cukup mengujakan untuk berada di Singapura. Ia kali kedua kami berada di sini dan kami semua amat gembira,” katanya di hadapan peminat Arsenal menjelang perlawanan dengan Atletico Madrid di Stadium Nasional, esok.

“Kami menjangkakan perlawanan yang baik menentang Paris St Germain dan Atletico Madrid. 

“Mereka pasukan yang hebat dengan pemain yang hebat, ia ujian baik untuk kami sebagai persediaan mengharungi musim baharu, jadi ia sesuatu yang kami tunggu.”

Selain Ozil, turut hadir pada majlis berkenaan ialah penyerang Reiss Nelson dan pemain tengah, Alex Iwobi dengan kesemuanya berkata pengurus baharu, Unai Emery cukup aktif pada sesi latihan pertamanya bersama pasukan.

Emery yang sebelum ini mengendalikan Valencia, Sevilla dan Paris St Germain dilantik bagi menggantikan Arsene Wenger yang sudah 22 tahun di Arsenal.

Disiarkan pada: July 25, 2018 @ 8:57pm
d