arena

Salah, Mane ceriakan Reds

Oleh Agensi

NEW JERSEY, Amerika Syarikat: Mohamed Salah mengambil masa kurang daripada seminit untuk menjaringkan gol pertamanya ketika Liverpool menewaskan Manchester City 2-1 dalam aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Stadium MetLife, hari ini.

Sadio Mane meledak gol kemenangan pada masa kecederaan menerusi penalti susulan terjahan Tosin Adarabioyo terhadap Dominic Solanke.

Salah, Mane dan Georginio Wijnaldum baru saja menyertai skuad Jurgen Klopp di New York dan penyerang Mesir itu yang dibawa masuk pada minit ke-62, meneruskan rentak cemerlangnya musim lalu apabila menanduk masuk hantaran Rafael Camacho melepasi penjaga gol Joe Hart.

Pemain Terbaik Tahunan 2018 itu hampir menggandakan jaringan tetapi tandukannya berjaya ditepis dan satu lagi percubaannya melepasi palang.

Liverpool ketinggalan sewaktu dia dibawa masuk selepas pemain Jerman Leroy Sane, yang juga ketinggalan berbanding pemain lain dalam aksi pramusim, berjaya merobek pertahanan Liverpool dan rembatannya melepasi penjaga gol Caoimhin Kelleher untuk gol pembukaan pada minit ke-57.

Skuad Pep Guardiola bermula dengan baik meskipun kehilangan 15 daripada 16 pemain yang terbabit dalam Piala Dunia dan mereka merebut setiap kesempatan untuk menguji penjaga gol Liverpool yang masih kurang yakin selepas kesilapan pada Liga Juara-Juara.

Pemain termahal City Riyad Mahrez membuka peluang pertama buat Lukas Nmecha dan rembatan ke arah Karius gagal ditangkap kemas namun peluang itu dihidu Fabihno,19, yang cuba melepasi gawang yang tidak diawasi itu.

Penjaga gol Jerman itu kemudiannya dua kali gagal menumbuk bola dengan sempurna dan jatuh ke kaki Brahim Diaz, namun sepakan itu berjaya diselamatkannya.

Hanya selepas minit ke-18 barulah skuad Juergen Klopp berjaya mencipta peluang apabila Curtis Jones melakukan tendangan lemah ke arah Claudio Bravo.

Pemain berusia 17 tahun itu senjata utama Liverpool pada separuh masa pertama dan hampir membolosi gawang dengan tandukan tersasar dan berpeluang mendapatkan penalti sejurus sebelum separuh masa apabila dikatakan dikasari Cameron Humphreys.

Mane masuk pada separuh masa kedua dan hampir membuka jaringan dalam tempoh tiga minit dan kemudiannya cuba merembat melepasi Hart namun berjaya dikeluarkan Eric Garcia. Solanke turut menggegar gawang beberapa minit kemudian namun ia dibatalkan akibat ofsaid.

Sane yang turut dibawa masuk pada masa kedua akhirnya memecah kebuntuan namun penguasaan City hanya bertahan selama enam minit sebelum Salah menyamakan kedudukan. Mane mensia-siakan dua peluang keemasan untuk menyempurnakan kemenangan sebelum berjaya memperdayakan Hart menerusi sepakan penalti.

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 12:47pm
d