arena

Tiffany ceria di hari pertama

Tiffany dahului hari pertama Terbuka Scotland

London: Pemain Amerika Syarikat, Tiffany Joh membuktikan dia serius mahu menjulang gelaran Terbuka Scotland selepas mendahului hari pertama dengan catatan 62 pukulan, awal pagi tadi.

Pemain berusia 31 tahun itu yang masih belum pernah memenangi gelaran di Jelajah LPGA, mendominasi saingan yang berlangsung dalam cuaca panas apabila membenam sembilan birdie di kelab Gullane, kurang dua minggu selepas pemain Afrika Selatan, Brandon Stone melakar rekod 60 pukulan sepusingan dalam kategori lelaki.

Tiffany yang dikesan mengidap melanoma pada Januari tahun lalu sebelum menjalani pembedahan membuat ketumbuhan di kepalanya itu, kembali beraksi di Jelajah empat bulan kemudian dan kini memiliki kelebihan empat pukulan di depan trio Korea Selatan, Jenny Shin, Amy Yang dan juara Terbuka British, Kim In-kyung.

Bagaimanapun, Tiffany yang dikenali sebagai salah seorang pemain yang sering berjenaka di Jelajah, tampil dengan aksi lebih memberangsangkan kali ini.

“Saya membuat beberapa penyelidikan dan saya terjumpa satu lokasi - Pease Bay - yang dikatakan mampu memberikan ketenangan buat saya,” kata pemain yang menduduki tangga ke-177 dunia itu.

“Saya menjalani terapi dengan melumur tubuh menggunakan rumpai laut sebelum belajar menenangkan diri dengan aktiviti meluncur.

“Hari ini dan esok belum menjanjikan saya muncul juara tetapi jika saya terus bermain begini, mungkin saya akan beroleh kejayaan.”

Sementara itu, Kim berkata, dia dan rakan senegaranya jarang bermain dalam cuaca sebegini tetapi mereka tidak mempunyai pilihan.

“Apa yang saya maksudkan ialah, kami pernah bermain dalam keadaan berangin, hujan (di Korea) dan semua keadaan cuaca tetapi kali ini ia sangat berlainan,” kata Kim.

“Ia agak menyeronokkan. Kami tertarik dengan pemandangannya dan seolah-olah kami tidak pernah melihat suasana yang sangat mempesonakan ini. Lapangan ini sukar tetapi ia sungguh cantik.”

Ketika saingan lelaki di Terbuka British minggu lalu agak mengecewakan apabila hanya pemain amatur tempatan, Sam Locke yang berjaya melepasi cut, pemain wanita pula tampil dengan azam mahu menjadikan saingan Terbuka Scotland lebih menarik.

Dua pemain tuan rumah, Kelsey MacDonald mencatat 67 pukulan manakala Catriona Matthew yang tinggal berdekatan lapangan ini, ketinggalan dua pukulan di belakang. - Reuters

Disiarkan pada: July 27, 2018 @ 11:29am
d