arena

Thomas laung amaran

Oleh AFP

PAU, Perancis: Penyandang jersi kuning Geraint Thomas ‘menjangkakan yang terburuk’ namun memberi amaran buat pencabar yang bercita-cita tinggi dan bermati-matian pada peringkat terakhir di kawasan pergunungan bahawa mereka mungkin hilang peluang berada di kedudukan podium Tour de France.

Thomas semakin hampir untuk menjadi juara Jelajah pertama dari Wales apabila melepasi peringkat ke-18 di Pau tanpa sebarang masalah dengan terus mendahului 1 minit 59 saat berbanding pelumba Belanda Tom Dumoulin (Sunweb).

Thomas bernasib baik dapat melarikan diri daripada ditarik daripada basikal oleh peminat yang teruja ketika memecut ke tempat ketiga di Saint-Lary-Soulan semalam.

Selepas berjaya mengelak sebarang kecelakaan hari ini, pelumba berusia 32 tahun itu kini hanya perlu fokus terhadap peringkat ke-19 yang berbukit-bukau membabitkan kawasan pergunungan Pyrenees seperti Col d’Aspin, Col du Tourmalet dan Col d’Aubisque, serta berharap Team Sky akan melakukan sebaik mungkin.

“Saya fikir kami menjangkakan sesuatu yang terburuk dan berharap yang terbaik.

“Ia satu ujian besar. Saya fikir ia satu lagi ujian yang perlu dikuasai pasukan sepanjang hari.”

Namun Thomas berharap laluan itu akan memihak kepadanya ketika dia mahu membawa pulang jersi kuning keenam buat Team Sky dalam tujuh edisi terakhir dan empat daripadanya menjadi milik rakan sepasukan Chris Froome.

Garis penamat terletak 20km dari puncak Col d’Aubisque, bermakna setiap kali pencabarnya berjaya melepasi pendakian sejauh 16.6km, mereka mungkin tewas ketika menuruni kawasan berbukit.

Malah setiap usaha pencabarnya untuk merampas jersi kuning selepas memenangi dua peringkat berturuut-turut di pergunungan Alps mungkin perlu berdepan ujian masa sejauh 31 kilometer pada peringkat kedua terakhir.

“Ia peringkat bukit terakhir dan saya fikir pelumba akan memanfaatkan setiap peluang yang ada tetapi pada masa sama mereka perlu ingat, mereka perlu melalui ujian masa,” kata Thomas.

Disiarkan pada: July 27, 2018 @ 11:49am
d