arena

Tunggu minggu depan

KUALA LUMPUR: Laporan terakhir mengenai insiden dua peserta Port Dickson International Triatlon (PDIT) 2018 lemas dijangka dikeluarkan pada minggu depan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pihaknya sudah ke Negeri Sembilan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai insiden berkenaan.

“Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali telah pergi ke Negeri Sembilan untuk berbincang mengenai hal ini dan mengumpulkan dokumen serta bukti.

“Polis sudah diberitahu dan mereka memberi kerjasama kepada kita. Saya percaya keputusan akhir pasukan petugas itu akan dikeluarkan minggu hadapan,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara Persatuan Badminton Malaysia dengan Ehime, Jepun di Akademi Badminton Malaysia, hari ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Badminton Malaysia Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Gabenor Wilayah Ehime merangkap Presiden Persatuan Badminton Ehime, Nakamura Tokihiro.

Pada 15 Julai lalu, peserta triatlon Yuen Chi Yuen, 42, yang juga warga negara Hong Kong dilaporkan hilang selepas gagal melaporkan diri kepada urus setia selepas menyertai acara renang.

Beliau ditemui lemas pada keesokan harinya di perairan Tanjung Tuan.

Selain Yuen, seorang lagi peserta PDIT 2018 Tharm Wei Wong, 39, yang berasal dari Pulau Pinang turut lemas ketika menyertai acara renang triatlon itu. - BERNAMA

Disiarkan pada: July 27, 2018 @ 5:27pm
d