arena

Saya tetap 'bersama' Ozil

Oleh Agensi

PERTAHANAN Arsenal, Shkodran Mustafi mengakui Jerman akan ‘merindui’ Mesut Ozil tetapi dia menghormati sepenuhnya keputusan peribadi rakan sepasukannya itu untuk bersara daripada skuad kebangsaan.

Ozil dikritik hebat atas tindakannya bergambar dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sebelum Piala Dunia 2018 membuka tirainya dan terus dipersalahkan selepas Jerman tersingkir awal di Russia.

Pemain berusia 29 tahun itu mengeluarkan beberapa siri kenyataan dalam laman sosial mengenai kekecewaan atas layanan yang diberikan terhadapnya dengan sesetengah kritikan disifatkan sebagai ‘perkauman’ sambil menuduh pengurusan tertinggi skuad Jerman tidak cukup melindunginya.

Mustafi yang bersama-sama Ozil dalam skuad Jerman ketika menjulang Piala Dunia di Brazil akhirnya bersuara bagi mempertahankan rakan sepasukannya itu.

“Ia mengejutkan saya. Dia membuat keputusan ketika sedang berehat dan berfikir mengenai masa depannya,” kata Mustafi.

“Saya fikir ia adalah keputusan peribadi. Sebagai rakan sepasukan dan rakan, saya berdiri di belakangnya dan jika dia memerlukan bantuan, saya akan berada di sana untuknya.

“Sudah tentu saya sedikit kecewa kerana saya fikir dia adalah pemain bola sepak yang cemerlang yang sudah banyak menyumbang terhadap pasukan kebangsaan Jerman.

“Dari sudut pandang saya, dia akan dirindui tetapi ia adalah keputusan peribadi dan kami perlu menghormatinya.”

Mustafi dan Ozil ketika ini berada di Singapura bagi jelajah pra-musim di bawah kendalian jurulatih baharu, Unai Emery.

Disiarkan pada: July 27, 2018 @ 11:40pm
d