arena

Ronaldo 'selamat' hukuman penjara

Oleh Reuters

CRISTIANO Ronaldo didenda 3.2 juta euros (RM15.15 juta) dan dijatuhkan hukuman penjara selama 24 bulan atas kesalahan membabitkan penipuan cukai dengan pihak berkuasa Sepanyol.

Begitupun, bekas bintang Real Madrid itu berkemungkinan tidak perlu menjalani hukuman berkenaan selepas bersetuju menyelesaikan kes berkenaan dengan pihak berkuasa percukaian Sepanyol, kata pihak pendakwaraya, hari ini.

Pemain berusia 33 tahun itu dituduh dengan kesalahan mengelak cukai berjumlah 5.7 juta euros (RM26.99 juta) tetapi dia yang berpindah ke Itali bagi menyertai Juventus itu menafikan tuduhan berkenaan.

Ronaldo begitupun mungkin tidak akan dipenjarakan kerana undang-undang Sepanyol menyatakan pesalah atas kesalahan tidak membabitkan keganasan dan dikenakan hukuman penjara di bawah dua tahun untuk kesalahan pertama hanya perlu diletakkan dalam pemerhatian.

Bintang Portugal itu dikehendaki membayar denda 3.2 juta euros (RM15.15  juta) ditambah dengan 5.7 juta euros (RM26.99 juta) cukai tertunggak, 1 juta euros (RM4.73 juta) dan faedah 250 euros (RM1,183) sehari selama 48 bulan yang meliputi tempoh hukuman penjara berkenaan.

Begitupun, jumlah berkenaan mungkin hanya sebahagian daripada denda terhadap kes ke atas penyerang itu, yang dijangka meningkat kepada sekitar 19 juta euros (RM89.95 juta) secara keseluruhannya.

Disiarkan pada: July 28, 2018 @ 1:37am
d