arena

Peluang 3 mata terakhir TRW

Oleh Attirmidzie Rahman

 

KELANTAN akan tetap memberi tentangan sengit kepada Pahang untuk memburu keputusan positif dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV (SSMIV) malam esok.

Pengendalinya, Yusri Che Lah mengakui laluan yang berliku sedang menunggunya namun ia bukan alasan bagi skuad The Red Warriors (TRW) untuk tidak memberi aksi terbaik.

Katanya, skuad TRW masih mengimpikan tempat dalam 11 pasukan bagi melayakkan ke saingan Piala Malaysia musim ini.

"Apa yang pasti perlawanan yang berlangsung malam ini antara Negeri Sembilan dan Melaka United turut menjadi penentu bagi kita sama ada layak atau sebaliknya untuk ke Piala Malaysia,” kata Yusri.

"Ini kerana kedua-dua pasukan merebut tempat ke saingan itu berdasarkan keputusan malam ini. Jika Melaka menang, kita memerlukan jaringan yang besar menewaskan Pahang malam esok bagi memastikan tempat untuk pasukan.

"Apapun pasukan tetap mengharapkan keputusan positif dan berusaha sedaya upaya menentang Pahang.”

Ditanya mengenai persiapan pasukan, Yusri memaklumkan tiada perubahan drastik dilakukan sebaliknya mahu barisan pemain memanfaatkan peluang yang ada.

"Saya dikhabarkan, Pahang bakal menurunkan barisan muda dalam perlawanan nanti dan kita perlu bersedia dengan perkara itu kerana pastinya pemain yang bakal diturunkan akan beraksi dengan sebaiknya untuk memikat hati jurulatih bagi diserap ke skuad utama musim depan.

"Apa yang boleh dikatakan perlawanan esok bagi saya menjadi perlawanan terakhir pasukan dalam saingan Liga Super musim ini dan jika diizinkan saya mahu tamatkan dengan satu keputusan positif," katanya.

Jika dilihat pada kedudukan terkini Kelantan bakal  beraksi di Liga Perdana musim hadapan apabila menghuni kedudukan tercorot dengan hanya mengutip 15 mata musim ini.

 

 

Disiarkan pada: July 28, 2018 @ 7:40pm
d