arena

'Tolong bayar hutang RM2.4 juta...'

Oleh Zulfaizan Mansor

 

JAWATANKUASA Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengarahkan enam pasukan melunaskan tunggakan gaji dan pampasan baki kontrak membabitkan jurulatih dan pemain dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM2.4 juta.

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) termasuk dalam enam persatuan atau kelab terbabit selepas tuntutan tunggakan gaji berjumlah RM55,000 yang dikemukakan pemain, Mohd Noor Hazrul Mohd Mustafa diterima FAM.

Dalam kenyataan oleh Pengerusi Jawatankuasa Status FAM Mohd Joehari Ayub itu  menyaksikan Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM FA) berdepan tuntutan tunggakan gaji paling tinggi berjumlah AS$180,000 (RM731,000) yang dikemukakan pemain, Abdulafees Abdulsalam.

Menerusi kenyataan sama, Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) juga berdepan isu tunggakan gaji berjumlah RM377,000 membabitkan tuntutan daripada lapan pemain mereka.

Pasukan yang sudah disingkirkan dari Liga Perdana musim ini, Kuantan FA terus dipalit isu tunggakan gaji dan kali ini tuntutan dikemukakan oleh lima jurulatih berjumlah RM671,000.

Jumlah itu merangkumi tunggakan gaji dan pampasan kontrak yang yang dituntut lima pegawai (jurulatih) termasuk ketua jurulatih, Ismail Zakaria.

Selain itu, Kuantan FA juga berdepan satu tuntutan tunggakan gaji daripada pemain, Abdul Malik Mat Ariff yang berjumlah RM70,000.

FAM turut menerima tuntutan pampasan baki kontrak daripada jurulatih, Mohd Zan Mat Aris berjumlah RM330,000 terhadap pasukan Piala FAM, Kelab Bolasepak Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers FC).

Satu lagi kelab dari Piala FAM, Kelab Bolasepak Terengganu City (TCFC) juga diarahkan membayar tunggakan gaji sebanyak RM60,000 dan pampasan baki kontrak berjumlah RM120,000 kepada jurulatih, Roshadi Wahab.

Joehari menjelaskan kesemua tuntutan berkenaan perlu dilunaskan oleh persatuan dan kelab terbabit dalam tempoh 30 hari bermula dari tarikh penerimaan keputusan berkenaan.

Katanya, jika gagal membayar jumlah yang dinyatakan dalam tempoh yang ditetapkan, perkara berkenaan akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi.

Disiarkan pada: July 28, 2018 @ 9:38pm
d