arena

Apo kono eh Jang!

Oleh Mohd Amin Jalil

NEGERI Sembilan (NS) tampak hilang rentak ketika menjadi mangsa seterusnya Melaka United (MU) yang menewaskan tuan rumah 3-1 dalam aksi terakhir Liga Super musim ini, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Skuad bimbingan pengendali dari Portugal, Mario Lemos itu jelas tiada keupayaan untuk bangkit memberikan tentangan, apabila usaha mereka untuk menjaringkan gol tidak kesampaian, sebaliknya MU dilihat lebih banyak menguasai saingan terutama pada separuh masa kedua.

Ketangkasan penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd Kaharuddin Abd Rahman harus dipuji dalam menafikan deretan percubaan MU. Namun akhirnya Ifedayo Olusegun membuka jaringan selepas memanfaatkan bola hantaran lintang Yahor Zubovich pada minit ke-48.

Jaringan itu melonjak semangat anak buah E Elavarasan apabila melakukan serangan bertali arus ke kubu skuad Hobin Jang Hobin.

Gawang Negeri Sembilan bolos buat kali kedua hasil kesilapan Mohd Nasriq Baharom yang tertampan bola sepakan Khair Muhammad Jefri ke gawang sendiri pada minit ke-63.

Selang dua minit kemudian, Ifedayo berjaya memberi tekanan kepada Negeri Sembilan apabila dia menjaringkan gol kedua peribadi dan ketiga pasukannya.

Negeri Sembilan berjaya mendapat gol sagu hati menerusi sepakan deras Flavio Beck Junior dari bahagian tengah pada minit ke-89.

Disiarkan pada: July 28, 2018 @ 11:27pm
d